7 Istilah Asas Dalam Bidang Astronomi

0
5096
Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha, Astronot Muslim asal Malaysia sedang melaksanakan shalat di pesawat yang dikendarainya keluar angkasa. Foto/youtube

Astronomi merupakan salah satu cabang ilmu sains tertua yang mengkaji seluruh jasad samawi seperti buruj, galaksi, planet dan lain-lain di angkasa. Kajian ini juga melibatkan fenomena seperti halo suria, gerhana bulan atau kajian terhadap objek samawi itu sendiri dan kedudukannya seperti komposisi matahari dan peliukan bumi. Bidang ini juga mempunyai istilah-istilah asas penting yang perlu diketahui bagi memudahkan pemahaman individu dalam mencerap dan memproses maklumat tentang koordinat objek yang berkaitan dengan mudah dan jelas. Secara ringkasnya, terdapat 7 istilah asas dalam memahami ilmu ini:

 

1) Sfera Samawi (Celestial Sphere)

Imej khayalan sfera samawi

Sfera samawi merupakan sebuah glob khayalan yang besar berpusatkan bumi ditengahnya. Ianya boleh dianggap sebagai alat geometri yang membolehkan kita untuk merekod dan mengukur jarak bintang. Bintang, matahari dan bulan dipaparkan dalam glob ini.

 

2) Ufuk Samawi (Celestial Horizon)

Imej bayangan ufuk samawi

Ufuk samawi merupakan satah (tangen) khayalan pada bumi bergantung pada lokasi pemerhati (observer). Ia juga merupakan sebuah bulatan agung (Great Circle) pada sfera samawi. Kedudukan satah ufuk berubah mengikut kedudukan pemerhati.

 

3) Zenith dan Nadir

Gambar rajah kedudukan zenith dan nadir

Zenith merupakan sebuah garisan menegak ke atas tepat dari kepala pemerhati manakala Nadir berlawanan dengannya.

 

4) Kutub Samawi (Celestial Poles)

Gambaran kutub samawi

Kutub samawi merupakan suatu titik yang berada tegak ke atas berpaksikan kutub-kutub Bumi yang terbahagi kepada utara dan selatan.

 

5) Khatulistiwa Samawi (Celestial Equator)

Gambaran khatulistiwa samawi

Khatulistiwa samawi merupakan satu satah berpandukan satah khatulistiwa bumi. Satah ini berserenjang dari kedua-dua kutub sebanyak 90 darjah.

 

6) Meridian Samawi (Celestial Meridian)

Gambaran tentang meridian setempat (local meridian)

Meridian samawi pada dasarnya merupakan bulatan agung utara-selatan yang melalui zenith dan nadir bermula dari kutub utara ke kutub selatan (Utara-Nadir-Selatan-Zenith). Manakala meridian tempatan pula (Local Meridian) hanya melalui zenith tanpa nadir dari utara ke selatan.

 

7) Prime Vertical

Gambaran prime vertical

Prime Vertical merupakan bulatan agung yang melepasi zenith dan nadir melalui timur dan barat. Ianya berserenjang dengan meridian samawi.

Moga bermanfaat.

 

 

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.