ASAL USUL KALENDAR GREGORY

0
4545

Era penghasilan takwim Gregory dikesan pada zaman Mesopotamia kira-kira 3500 S.M yang lalu sehingga sekarang[1]. Manusia hanya melihat kepada alam sekeliling. Melihat kepada objek samawi seperti terbenam dan terbit matahari, bulan yang berbeza-beza fasanya, musim sejuk dan musim panas yang datang bersilih ganti. Manusia hanya dapat melihat tetapi tidak mengetahui apakah yang tersirat di sebalik fenomena alam ini[2].

Berikutnya, takwim Mesir Kuno dihasilkan. Berpandukan dokumentasi primitif di zaman Mesir Kuno mereka menganggap sungai Nil adalah darah daging mereka. Mereka juga menganggap banjir besar sungai Nil merupakan acara penting yang datang secara teratur pada setiap kali musim panas.[3] Mereka menjadikan bintang di langit sebagai asas pembentukan takwim mereka[4]. Malah dikatakan pembinaan piramid juga mempunyai hubung kait dengan bintang di langit[5].Masyarakat Mesir Kuno dapat mengetahui bilangan hari dalam setahun sebanyak 365 hari sahaja. Mereka tidak peka terhadap kewujudan ¼ hari tambahan.

Ketidakpekaan mereka ini telah membawa kepada kelewatan perubahan musim sebanyak 1 hari dalam tempoh 4 tahun. Manakala dalam tempoh 1 kurun berlaku perubahan sebanyak 4 minggu. Masalah ini telah menyebabkan wujudnya tahun lompat dalam takwim suria dengan penambahan 1 hari bagi setiap 4 tahun.

Ahli astronomi Babylon, Nabu-rimanu yang datang pada era selepas itu telah mengira panjang tahun suria sebanyak 365 hari 6 jam 15 minit dan 41 saat; iaitu ralat hanya 26 minit dan 55 saat sahaja[6]. Giliran berikutnya, orang-orang Roman cukup membantu dalam pembangunan penghasilan takwim. Pada awal penggunaan takwim Roman mereka mengunakan bulan sepenuhnya iaitu hanya 44 minit lebih panjang daripada 29 ½ hari[7]. Secara asasnya, tahun dalam takwim ini dimulai pada 1 Mac dan hanya mengandungi 304 hari atau 10 bulan. Selepas itu Raja Numa Pompilus menambah dua bulan iaitu Januari dan Februari antara bulan Disember dan Mac menjadikan 354 atau 355 hari[8]. Untuk mendapat jumlah hari yang secukupnya dalam setahun itu, bulan tambahan atau interkalari diperkenalkan. Dalam tempoh lapan tahun panjang tahun ialah[9] :

  1. 12 bulan atau 355 hari
  2. 13 bulan atau 377 hari
  3. 12 bulan atau 355 hari
  4. 13 bulan atau 378 hari
  5. 12 bulan atau 355 hari
  6. 13 bulan atau 377 hari
  7. 12 bulan atau 355 hari
  8. 13 bulan atau 378 hari

Jumlah keseluruhan menjadi 2930 hari. Maka dalam setahun akan berubah kepada 366 ¼ hari. Kemudian, disebabkan mendapat jumlah hari yang terlalu panjang dalam setahun, mereka membuang 7 hari pada tahun ke-lapan menjadikan 365.375 hari sahaja.

Pendekatan berani Julius Caeser selepas itu, merombak sistem takwim barat ini mengikut tahun suria telah menghasilkan takwim terbaru dengan jumlah hari yang sama tanpa interkalasi. Rombakan ini terjadi sekitar tahun 46 S.M atau dikenali dengan tahun kekeliruan. Julias Caeser menjadikan panjang tahun 365.25 hari sahaja, sedangkan jumlah hari yang sebenar dalam perkiraan tahun ialah 365.2422. Berbeza 0.0078 hari atau 11 minit[10]. Ini bermakna dalam tempoh 128 tahun takwim Julian akan terdapat ralat 1 hari.[11].

Disebabkan terdapat ralat, Pope Gregory XIII mengambil keputusan menggugurkan 10 hari pada tahun 1582 M dengan bantuan ahli astronomy Clavious[12].Hal ini dikira berdasarkan pengiraan berikut:-

  1. 128 tahun : berlaku pertambahan 1 hari
  2. 256 tahun : berlaku pertambahan 2 hari
  3. 384 tahun : berlaku pertambahan 3 hari
  4. 512 tahun : berlaku pertambahan 4 hari
  5. 640 tahun : berlaku pertambahan 5 hari
  6. 768 tahun : berlaku pertambahan 6 hari
  7. 896 tahun : berlaku pertambahan 7 hari
  8. 1024 tahun : berlaku pertambahan 8 hari
  9. 1152 tahun : berlaku pertambahan 9 hari
  10. 1280 tahun : berlaku pertambahan 10 hari.

Mengikut perkiraaan ralat ini, maka mereka susah untuk menentukan tarikh hari Easter mereka. Jika tidak dipinda takwim Julian kepada Gregory, didapati hari Easter akan jatuh dan dirayakan pada:

Tahun 453 M pada 20 Mac

Tahun 581 M pada 19 Mac

            dan 1263 M disambut pada 13 Mac

Untuk mengatasi masalah perayaan Easter inilah, Pope Gregory XIII menggunakan takwim Gregory yang digunapakai sehingga sekarang[13]

RUJUKAN

  • 1 Mohammad Ilyas, Global Time System:The Natural Approach (Kuala Lumpur: IIUM Press, 2001).9
  • 2 E S R Gopal, “Time, Calendar and Millenium,” Resonance 6, no. 5 (2001): 16–28.
  • 3 Ibid.17
  • 4 Encyclopedia Coptic History, “Al-Takwim Al-Qibti,” dilihat pada 27 April, 2011, http://www.coptichistory.org/new_page_60.htm.
  • 5 Ibid.
  • 6 James L.C.Ford, “Astronomy’s Contribution,” The Journal of Calendar Reform 13, no. 2nd quarter 1943 (1943): 82–84.
  • 7 Bernard Melzar Allen, “The Early Roman Calendar,” The Classical Journal 43, no. 3 (1947): 163–168.
  • 8 Claus Tondering, “Frequently Asked Questions about Calendars,” dilihat pada 7 April, 2014, URL:http://www.tondering.dk/claus/calendar.html.
  • 9 Ibid.17
  • 10 W.F.Bushell, “Calendar Reform.”.118
  • 11 Ibid.118
  • 12 L.C.Ford, “Astronomy’s Contribution.”.3
  • 13 Ibid.












LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.