Tentu kita sering tertanya-tanya, mengapa zaman kegemilangan tamadun Islam dahulu, sains begitu berkembang dengan pesat? Bahkan pelbagai tokoh-tokoh astronomi, perubatan, botani dan pelbagai bidang lain dipelajari dan diinovasikan serta dikembangkan teori-teori sains oleh saintis Muslim zaman dahulu sehingga dipelajari pula oleh Barat.

Institusi-institusi sains yang melonjakkan perkembangan ilmu pengetahuan adalah dari akademi-akademi yang ditubuhkan seperti masjid, sekolah, perpustakaan dan balai-balai cerap. Astronomi zaman tamadun Islam khususnya, menumpukan perhatian kepada usaha mencerap objek-objek langit dan membina balai-balai cerap ketika itu.

Balai cerap mempunyai peranan yang sangat besar dalam memajukan astronomi. Ini kerana makmal bagi ahli astronomi untuk mencerap objek-objek di langit adalah balai cerap. Aktiviti penyelidikan serta pembelajaran yang dijalankan di balai cerap mempunyai kesan yang sangat besar kepada astronomi Islam zaman silam dan masa kini. Balai cerap bukan setakat mencerap objek-objek angkasa dan penyelidikan, bahkan juga menjadi tempat pengajaran, latihan dan bertukar-tukar pandangan ahli sains.

Balai cerap merupakan sebuah bangunan atau institusi yang sistematik, digunakan untuk cerapan objek angkasa bagi tujuan memahami sifat fizikal objek tersebut, ataupun bagi tujuan perhitungan masa dan penentuan kalendar yang dilaksanakan secara teratur dan cerapan yang tetap di balai cerap tersebut

Ahli sejarah yang mengkaji manuskrip dan kajian khusus tentang balai cerap zaman tamadun Islam, Aydin Sayili telah menemui bahawa balai cerap pertama di dunia adalah balai cerap yang dibangunkan semasa zaman tamadun Islam. Istilah balai cerap dan konsep balai cerap bukan sahaja pertama di dunia Islam tetapi juga merupakan produk asli yang dicadangkan oleh Al-Ma’mun, pemerintah pada zaman kegemilangan Islam dan diikuti pula dari dari sudut organisasi balai cerap oleh balai-balai cerap setelah zaman kegemilangan tamadun Islam di seluruh dunia. Tulisan beliau disokong oleh hampir semua cendikiawan yang mengkaji tentang astronomi zaman kegemilangan Islam seperti George Saliba, David A. King dan S. Kennedy. Begitu juga apabila meneliti ensiklopedia yang disusun oleh Paul Murdin, Encyclopedia of Astronomy and Astrophysics  tentang balai cerap, sejarah balai cerap dimulai dengan balai cerap zaman tamadun Islam.

Aydin Sayili secara terperinci telah membentangkan sejarah balai cerap zaman kegemilangan tamadun Islam bermula dengan Baghdad dan berakhir dengan Istanbul dengan berpandukan manuskrip asal zaman tersebut. Kebanyakan kajian dan rujukan ahli-ahli sejarah seperti George Saliba, David A. King dan S. Kennedy tentang balai cerap zaman kegemilangan tamadun Islam juga mengambil rujukan daripada penulisan Aydin Sayili.

Melihat kepada sejarah yang dibentangkan Aydin Sayili dan sokongan oleh cendikiawan yang lain, terdapat 3 fasa pembinaan dan pembangunan balai cerap zaman tamadun Islam iaitu:

(i) Balai cerap fasa awal kurun ke 9 dan 10 Masihi

Balai cerap pada fasa ini masih lagi mengalami kekurangan-kekurangan disebabkan oleh proses masih baru belajar membangunkan balai cerap. Dalam masa yang sama, kekuatan utama pembinaan balai cerap adalah bersumberkan sokongan kuat pemerintah khususnya Al-Ma’mun bagi membangunkan balai cerap yang dapat digunakan bagi tujuan astrologi dan meramal masa depan. Balai cerap pertama pada zaman tamadun Islam adalah Balai Cerap Syammasiya dan Qasiyun. Walaupun balai cerap ini dikatakan sebahagian daripada Baitul Hikmah (House of Wisdom) yang dibina semasa pemerintahan al-Ma’mun, khalifah Abbasiyyah yang ke-7 yang memerintah pada 814-833 Masihi, namun begitu, Aydin berpandangan bahawa kedua-dua balai cerap ini adalah terletak berasingan dengan Baitul Hikmah.

Baitul Hikmah merupakan perpustakaan dan pusat penterjemahan buku daripada bahasa asing ke bahasa Arab selain berperanan sebagai pusat penulisan dan pembelajaran. Justeru, ramai saintis dan ahli astronomi berkumpul di sana dan melakukan perbincangan ilmiah dan melaksanakan cerapan. Selain itu, prinsip-prinsip astronomi dikeluarkan daripada buku-buku yang diterjemahkan di Baitul Hikmah seterusnya menjadi rujukan kepada ahli astronomi dalam proses cerapan.

 Terdapat bukti bahawa Al-Khawarizmi juga bersama-sama melaksanakan cerapan pada peringkat awal di balai cerap Shammasiya. Antara aktiviti yang dilaksanakan di balai cerap ini adalah aktiviti cerapan solstis yang telah dilaksanakan oleh Yahya Ibn Mansur pada tahun 828M bersama dengan Khawarizmi. Selain itu, ahli astronomi juga membuat cerapan matahari, bulan dan planet di balai cerap tersebut dan hasil cerapan telah direkodkan dalam sebuah buku bertajuk Mumtahan Zij (Jadual yang sah dan teruji). Pada abad yang sama juga, cerapan banyak dilakukan oleh adik-beradik Banu Musa kebanyakannya di Baghdad. Mereka mengukur altitud maksimum dan minimum matahari dan mencerap gerhana matahari di balai cerap Shammasiya. Ibn Sina, Al-Battani, Al-Fargani juga menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk mencerap dan mengkaji langit. Antara kajian terpenting yang dilaksanakan atas arahan Al-Ma’mun juga adalah penentuan arah kiblat.

Walaubagaimanapun, kajian dan kerja-kerja di balai-balai cerap yang dinaungi oleh Al-Ma’mun mempunyai masa yang singkat dan program di balai cerap tersebut adalah terhad. Selain itu, aktiviti yang dilaksanakan di balai cerap tersebut tidak mendapat sokongan ulama dan agamawan kerana dikaitkan dengan aktiviti meramal masa hadapan atau astrologi. Al-Ma’mun dipercayai merupakan pemerintah yang setia dan percaya kepada astrologi. Masalah lain yang berbangkit ketika itu adalah, balai cerap belum lagi diiktiraf sebagai sebuah institusi kerana tidak jelas didefinisikan sebagai sebuah institusi. Terdapat juga masalah teknikal di balai cerap tersebut contohnya kekurangan sumber tenaga kerja dan masalah pembinaan alat cerapan yang besar. Usia balai cerap awal ini juga pendek disebabkan oleh peralihan pemerintah dan banyaknya aktiviti astronomi yang dijalankan di balai cerap persendirian yang lain.

Sepanjang kurun ke 9 dan 10 juga, ahli-ahli astronomi zaman tamadun Islam telah melaksanakan cerapan di pelbagai tempat iaitu di balai-balai cerap persendirian dan balai cerap diraja yang dikenali sebagai Balai Cerap Sharaf al-Dawala. Balai Cerap Sharaf al-Dawala dibina di Baghdad oleh pemerintah, Sharaf Al-Dawla dan anak lelakinya. Walaupun balai cerap ini merupakan balai cerap diraja seperti Balai Cerap Shammasiya, namun balai cerap ini mempunyai kelebihan kerana mempunyai seorang pengarah balai cerap yang menyebabkan organisasi dan pengurusan balai cerap lebih baik dari balai cerap Syammasiya. Antara aktiviti yang dilaksanakan di balai cerap tersebut adalah program cerapan semua 7 planet ketika itu yang banyak dilaksanakan oleh Ibn Al-Qifti selain cerapan matahari, bulan dan juga mengeluarkan jadual astronomi yang baru. Terhentinya aktiviti dan hayat balai cerap ini berakhir dengan wafatnya pemerintah Sharaf Al-Dawla namun tidak diketahui punca berlakunya perkara tersebut.

Pada kurun ke-9 dan 10M juga, balai cerap persendirian pula pesat berkembang dan mampu menjayakan projek cerapan mereka dan menyediakan jadual astronomi berdasarkan cerapan-cerapan baru. Antara ahli astronomi dan saintis yang aktif membuat cerapan di tempat-tempat cerapan mereka adalah Al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, Sulayman Ibn Isma dan Mansur Ibn Talha.

(ii) Balai cerap fasa pertengahan iaitu kurun ke 11 hingga kurun ke 14

            Balai cerap pada fasa ini melambangkan kekuatan sebenar balai cerap zaman tamadun Islam. Walaupun pada awal pertengahan kurun ke 11, terdapat balai cerap yang mengalami beberapa masalah seperti balai cerap yang diruntuhkan apabila berlakunya perubahan pemerintah dan balai cerap yang masih tidak berfungsi dengan baik disebabkan instrumen yang kurang jitu, namun pada awal kurun ke 12 sehingga ke 15, balai cerap zaman tamadun Islam mengalami anjakan yang sangat baik sehingga menjadi balai cerap contoh bagi balai cerap di Eropah dan Cina khususnya Balai Cerap Maragha.

Pada tahun 1005M, Akademi sains yang kedua, Hall of Wisdom atau Dar al-‘Ilm (House of Science), ditubuhkan oleh Al-Hakimi, pemerintah ketika itu di Mesir. Sebuah balai cerap telah mula dibina di situ pada tahun 1120M dan hampir siap, namun telah diarahkan untuk diruntuhkan oleh khalifah pada tahun 1125M selepas kematian penaung balai cerap tersebut kerana dikaitkan dengan memahami pergerakan planet pada ketika itu dikaitkan dengan perbuatan meramalkan masa hadapan dan menyelidiknya dianggap sihir. Walaubagaimanapun, melalui kajian Aydin, tidak terdapat bukti nyata tentang kewujudan balai cerap tersebut sehingga beliau menggelarnya dengan ‘balai cerap hantu’. Ini kerana terdapat kekeliruan antara balai cerap ini dan balai cerap Al-Afdal al-Batahi dan tidak dijumpai sebarang bukti penulisan oleh ahli astronomi pada zaman itu dan masnuskrip yang dijumpai oleh Aydin tentang balai cerap di Akademi Sains atau Hall of Wisdom.

Setelah itu, dibina pula Balai Cerap Malikshah pada 1074M bersamaan 467H oleh Sultan Malikshah setelah perbincangan dengan Nizam al-Mulk bersama ahli-ahli astronomi pada zamannya seperti Umar ibn Ibrahim al-Khayyami, Abu’l Muzaffer al Asfizari dan lain-lain. Antara ahli astronomi yang terlibat adalah Al-Wabkanwi dan Nizam-I Nishaburi yang melaksanakan aktiviti cerapan planet dan matahari serta aktiviti membuat kalendar berdasarkan cerapan. Al-Wabkanwi menegaskan bahawa kajian dan cerapan planet yang baik perlu dilaksanakan selama 30 tahun bagi melihat sistemnya secara menyeluruh. Kenyataan ini merupakan kenyataan yang digunapakai setelah itu oleh ramai ahli astronomi selepsnya. Terdapat 8 orang staf dipercayai terlibat di balai cerap ini termasuk Abul ‘Abbas al-Lawkari. Balai Cerap ini beroperasi sehingga kematian Sultan pada tahun 485H.

Balai cerap lain yang dibina sekitar kurun ke-11M dan kurun ke-12M adalah Balai Cerap Al-Afdal Al-Baitahi. Balai cerap ini mula dibina pada tahun 1120M dan siap pada tahun 1125M. Ia mengambil masa yang lama kerana masalah meletakkan peralatan yang besar di balai cerap tersebut.  Setelah kematian penaung balai cerap tersebut, Al-Mamun al-Batahi, semua aktiviti di balai cerap tersebut terganggu kerana masyarakat umum menganggap bahawa tujuan sebenar Al-Mamun al-Batahi adalah lebih kepada unsur magik dan sihir. Pengganti khalifah setelah itu mengarahkan untuk menghancurkan balai cerap tersebut dan semua yang terlibat dalam pembinaan balai cerap tersebut, ahli astronomi, jurutera dan ahli matematik terpaksa berundur. Hanya sedikit cerapan dan kajian yang dapat dilaksanakan di sana khususnya cerapan matahari menurut Maqrizi.

Walaupun Sepanyol dan Morocco merupakan tempat yang subur dengan aktiviti falsafah sains dan teori-teori penting astronomi dibangunkan di sana, namun, tiada bukti balai cerap pernah diasaskan di sana pada abad ke 11 dan 12 Masihi. Walaupun terdapat banyak cerapan yang dilaksanakan khususnya oleh Abu Ibrahim ibn Yahya al-Zarqali (1029-1087M), ahli astronomi di sana ketika itu, namun cerapan tersebut tidak dilakukan di balai cerap. The Tower of Star (Burj Al-Kawkab) yang terletak di Fas, Morocco merupakan tempat melihat anak bulan, namun tidak diiktiraf sebagai balai cerap. Selain itu, terdapat tulisan yang mengakui bahawa menara masjid di Andalusia telah digunakan sebagai tempat untuk melakukan pencerapan angkasa lepas. Sebuah balai cerap yang dikenali sebagai Giralda telah dibina berhampiran dengan Masjid Seville pada tahun 1190M. Pembinaan ini telah diawasi oleh Jabir Bin Aflah yang merupakan seorang ahli matematik terkenal di Andalusia. Apabila Seville ditawan oleh orang Kristian, menara Giralda ini telah dijadikan sebagai tempat menggantung loceng gereja.

            Balai cerap yang paling berjaya dan luas pada zaman tamadun Islam adalah Maragha (di Azerbaijan, Iran) dan di Samarkand, Uzbekistan. Balai Cerap Maragha siap dibina pada tahun 1264 dan aktif sehingga 1316 Masihi.  Lokasi Balai Cerap Maragha adalah strategik terletak di atas bukit berhampiran dengan bandar Maragha (Azerbaijan sekarang) dan di atas bukit inilah terletaknya bangunan balai cerap yang disifatkan sebagai menakjubkan dan menjadi rujukan kerana menaranya yang tinggi. Salah satu penyebab utama kepada kejayaan Balai Cerap Maragha adalah kerana sokongan dan dokongan pemerintah dan pengganti-penggantinya yang cintakan sains dan pembelajaran. Mereka bukan sahaja menyokong, malah mereka sendiri mempunyai pengetahuan tentang matematik dan astronomi. Mangu merupakan abang kepada Hulagu, seorang pemerintah yang terawal memberi insentif kepada balai cerap Maragha merupakan seorang yang menguasai teori-teori sukar Euclid, seorang ahli matematik Yunani purba. Kesan naungan pemerintah terhadap balai cerap ini dapat dilihat kepada 2 bukti iaitu hayatnya yang panjang dan pemberian harta wakaf untuk menampung dana dan kos pentadbiran balai cerap.

Balai cerap Maragha adalah balai cerap Islam pertama yang masih lagi hidup walaupun pemerintah telah meninggal dunia berbanding balai-balai cerap sebelum ini yang hanya bertahan dengan seorang pemerintah. Kebiasaannya, setelah pemerintah yang memberi sokongan dan dana kepada balai cerap sebelum ini meninggal dunia, maka operasi balai cerap tersebut akan merudum. Namun begitu, berlainan dengan balai cerap Maragha, setelah kematian Hulagu, ia terus beroperasi di bawah tidak kurang daripada 7 pemerintah. Balai cerap Maragha juga adalah balai cerap pertama yang mendapat manfaat daripada hasil pendapatan wakaf. Pendapatan wakaf ketika zaman kegemilangan Islam ketika itu menunjukkan bahawa wakaf bukan sekadar sumber pendapatan untuk membantu institusi kebajikan dan bantuan kepada masyarakat seperti hospital, masjid dan sekolah-sekolah, tetapi juga sebagai gabungan integrasi dan harmoninya budaya umat Islam dengan pembangunan dan ketamadunan.

Pada permulaan pembinaan balai cerap, kerjasama antara Hulagu dan Nasir al-Din al-Tusi sangat erat bermula dengan penentuan tapak balai cerap. Walaupun terdapat 2 pandangan tentang siapa yang memulakan idea pembinaan balai cerap tersebut sama ada Hulagu sendiri yang diminta oleh abangnya Mangu untuk memanggil al-Tusi bagi membina balai cerap ataupun inisiatif Nasir al-Din sendiri yang mencadangkan pembinaan balai cerap Maragha ini, namun begitu, kesimpulan yang dapat diambil adalah kerjasama dan saling mempercayai antara pemerintah dan saintis sangat dekat. Selain itu, seorang saintis yang dipanggil Cha-Ma-Lu-Ting yang disebut oleh sumber dari China yang dikaitkan dengan Jamal al-Din telah membentangkan model atau gambar instrumen astronomi bagi diletakkan di balai cerap Maragha kepada Qubilay, pengganti Mangu.

Jumlah saintis yang besar telah bekerjasama dan terikat dengan balai cerap ini. Mereka adalah Nasir al-Din al-Tusi, Ali ibn Umar al-Qazwini, Muayyad al-Din al-Urdi, Fakhr al-Din al-Akhlati, Muhyi al-Din al-Maghribi, Qutb al-Din al-Shirazi, Abd al-Razzaq ibn al-Fuwati dan Kamal al-Din al-Ayki. Mereka bertukar-tukar pandangan dan idea tentang sesuatu kajian. Nasir al-Din telah membawa Muayyad al-Din, Najm al-Din, Fakhr al-Din al-Maraghi dan Fakhr al-Din al-Akhlati bagi bersama-sama dalam pembinaan asas balai cerap. Ini menunjukkan bahawa Nasir-al-Din tidak mahu bekerja bersendirian dan lebih suka bekerja dalam kumpulan serta mengambil pandangan saintis-saintis lain.

Selain itu, kajian Aydin juga ada menyatakan bahawa Hulagu telah membawa ahli astronomi China ke Balai Cerap Maragha bagi mendapatkan pengetahuan tentang astronomi dan kalendar dari perspektif China sebagai petunjuk bahawa Hulagu sebagai pemerintah ketika itu sangat terbuka dalam membawa masuk ahli astronomi dari negara luar bagi memantapkan lagi pengetahuan astronomi dan perbincangan di balai cerap tersebut. Balai Cerap Maragha juga merupakan sebuah institusi pendidikan astronomi di kalangan pelajar-pelajar. Kerjasama daripada beberapa orang adalah sangat perlu bagi mengendalikan instrumen yang besar yang terdapat di sana, justeru, pelajar-pelajar juga terlibat dalam membantu dalam aktiviti-aktiviti di balai cerap selain melalui proses pembelajaran bersama saintis di sana. Dilaporkan bahawa hampir 100 orang murid Nasir al-Din di balai cerap tersebut yang belajar astronomi dan matematik dengan guru-guru seperti Abu’l Faraj dan Nasir al-Din. Pembahagian tugas kepada pengarah balai cerap, penyelidik, pentadbir kewangan, staf di perpustakaan yang besar, tenaga pengajar dan juruteknik di balai cerap menjadikan balai cerap ini tampak tersusun dan tidak membebani sesorang individu dengan banyak kerja. Berbanding balai-balai cerap sebelum Maragha, balai cerap Maragha mempunyai perpustakaan yang besar menempatkan buku-buku yang banyak yang dikumpulkan daripada Baghdad, Syria dan Al-Jazira dan direkodkan mempunyai sehingga 400,000 buah buku.

            Hasil daripada perbincangan ahli-ahli astronomi dan cerapan yang berterusan di Balai Cerap Maragha telah menghasilkan teori pertama menolak pandangan Ptolemy tentang teori planet dan terdapat beberapa bukti yang mendedahkan bahawa Kepler dan Coppernicus sangat terkesan dengan teori-teori ilmuwan Islam khususnya tentang teori planet. Ini adalah hasil kerjasama saintis-saintis di balai cerap Maragha. Selain itu, terbentuknya jadual astronomi yang lengkap dan terkenal iaitu Ilkhani Zij yang merupakan sumber rujukan ahli astronomi adalah bukti bahawa hasil kajian di Balai Cerap Maragha mampu menghasilkan jadual astronomi yang tersendiri. Cerapan gerhana juga dilaksanakan di balai cerap ini dan penambahbaikan dibuat terhadap Jadual Ilkhani setelah membuat penyelidikan selama 30 tahun sehingga revolusi planet Zuhal telah lengkap. Selain itu, kajian tentang ketepatan waktu ekuinoks (salah satu daripada dua titik persilangan ekliptik dengan khatulistiwa samawi yang diduduki matahari apabila istiwanya 0) juga dikaji.

            Abad ke-14 tidak mempunyai balai-balai cerap yang besar-besar. Pada 1304, Balai Cerap Ghazan Khan telah siap sepenuhnya dibina oleh pemerintah ketika itu, Ghazan Khan yang mengambil inspirasi dari pembinaan Balai Cerap Maragha. Balai cerap ini menggunakan sistem wakaf juga khususnya bagi membayar gaji seorang professor iaitu tenaga pengajar, pembantunya, bendahari dan beberapa orang pekerja. Balai cerap ini juga mempunya tenaga pengajar astronomi dan subjek-subjek sains yang berkaitan yang direkodkan hampir menyamai bilangan tenaga pengajar seperti di institut pengajian tinggi sekarang. Walaupun begitu, balai cerap ini tidak dapat menandingi balai cerap Maragha dari sudut saiz dan kepentingannya. Ini kerana jangka hayat balai cerap ini hanya bertahan selama 15 atau 16 tahun sahaja.

(iii) Balai cerap fasa akhir iaitu kurun ke 15 dan 16

            Seterusnya, pada abad ke-15 dan abad ke-16 merupakan tempoh perpindahan pengetahuan dan tradisi pembinaan balai cerap ke Eropah. Balai Cerap Samarqand yang dibina pada abad ke-15 dan balai cerap Istanbul pada abad ke-16 merupakan institusi sains dan balai cerap yang banyak memberi manfaat kepada pencapaian Islam. Ulugh Begh (1394-1449) merupakan seorang pemerintah yang mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap astronomi dan matematik. Setelah beliau menziarahi balai cerap Maragha, beliau telah mengasaskan sebuah institusi sains dan balai cerap di Samarqand. Balai cerap Samarqand ini dibina bermula tahun 1428 dan selesai pembinaannya pada 1429.  Balai cerap ini telah diruntuhkan selepas kematian Ulugh Beg pada tahun 1449. Seramai 70 ahli astronomi yang aktif menjalankan kerja-kerja cerapan dan seminar di sana antara tahun 1408 dan 1437. Instrumen yang paling besar dibina di sana adalah sebuah ’sextant’ berjejari 40meter yang merupakan alat yang boleh mencapai resolusi sehingga arka minit yang nilainya adalah terbaik sebelum kewujudan telekop pada abad ke-17. Ia digunakan bagi proses cerapan matahari. Selain itu, Ulugh Beg bersama ahli-ahli astronomi beliau juga telah mengumpul dan menyusun sebuah katalog 1000 bintang terang yang kelihatan di atas latitud Samarqand yang belum pernah dilakukan oleh ahli astronomi lain selepas Ptolemy.

            Balai Cerap Istanbul pula diilham dan diketuai oleh Taqi al Din Muhammad al Rashid ibn Ma’ruf dan dibiayai pembinaannya oleh Sultan Murad III (1574-1595). Tempat pembinaannya adalah di bahagian Eropah Istanbul (Tophane) dan pembinaan siap sepenuhnya pada tahun 1577. Pada tahun yang sama juga bulan November, komet yang terkenal telah melalui Istanbul dan Taqi al-Din telah menyediakan persiapan untuk Sultan Murad bagi melihat ramalan kehadiran komet tersebut. Disebabkan oleh perbalahan politik dan permusuhan di kalangan pembesar, maka balai cerap ini telah dirobohkan pada awal 1580 kerana dikaitkan dengan astrologi. Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti di balai cerap Istanbul tidak semua dikaitkan dengan astrologi dan buktinya, pelbagai instrumen astronomi banyak diletakkan di sana bagi menjalankan kajian dan cerapan di balai cerap tersebut. Terdapat 2 kategori instrumen astronomi di balai cerap tersebut iaitu yang boleh diubah alih dan yang tetap iaitu sfera armillari bagi mengukur latitud dan longitud, mural quadrant bagi mengukur deklanasi bintang dan matahari, azimuthal semicircle, bagi mengukur altitud dan azimut bintang dan lain-lain peralatan.

            Melalui sejarah balai cerap zaman tamadun Islam, terdapat pelbagai isu berbangkit sepanjang pembinaan dan kemusnahan balai cerap. Antaranya adalah pertembungan ulama’ dan pemerintah serta ahli astronomi yang mendokong balai cerap. Ini kerana balai cerap dan ahli astronomi ketika itu dikaitkan dengan astrologi. Pembinaan balai cerap juga dilihat kebanyakannya diarahkan pembinaannya oleh pemerintah ketika itu bagi memberi pengetahuan kepada mereka tentang perkara-perkara yang bakal berlaku yang bertentangan dengan ajaran Islam. Walaupun demikian, atas inisiatif pembinaan balai cerap tersebut, ilmu astronomi telah berkembang dengan subur dan ramai ahli astronomi telah menemui teori-teori baru tentang alam semesta. Penemuan-penemuan baru yang menakjubkan juga berjaya dikemukakan hasil dari balai cerap tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.