BENARKAH PEMUDA ASHABUL KAHFI DITIDURKAN ALLAH SELAMA 300 TAHUN.

0
5530

Kisah Ashabul Kahfi adalah sebuah kisah keajaiban kekuasaaan Allah SWT. Kekuasan ini tidak boleh dijelaskan oleh akal manusia namun mempunyai pengajaran yang tinggi. Mereka adalah sekumpulan tujuh pemuda dan seekor anjing yang tertidur didalam gua. Kehidupan mereka di tengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang kejam bernama Diqyanus membuatkan mereka melarikan diri dan ditidurkan oleh Allah SWT dalam sebuah gua.

          Terdapat pelbagai persoalan dalam merungkai cerita yang disebut Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ini. Namun artikel ini hanya membahaskan berkaitan jumlah hari, bulan dan tahun yang dilalui oleh pemuda-pemuda tersebut sehingga ditidurkan oleh Allah selama 300 tahun lebih. Berapakah jumlah hari, bulan dan tahun tersebut?

            Terdapat perbezaan hari yang ketara antara takwim Hijri dan Takwim Masihi (Gregory). Satu takwim dikira berdasarkan peredaran bulan, manakala satu lagi dikira berdasarkan peredaran matahari. Satu pusingan sempurna bumi untuk mengelilingi matahari ialah 365 hari 5 jam dan 48 minit dan 46 saat, yang bersamaan 365.2422 hari[1] bagi satu tempoh tahun suria manakala tempoh bagi tahun hijri yang berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi ialah 29 hari 12 jam 44 minit dan 3 saat atau bersamaan 29.5306 hari. Jadi hari lengkap tahun Hijri ialah 29.5306 x 12 = 354.367 hari.

            Perbezaan hari yang timbul berdasarkan pengiraan kedua-dua takwim ini ialah 10 hari 21 jam, iaitu hampir 11 hari jika dibundarkan. Hal ini kerana terdapat lebih kurang 3 jam lagi untuk genapkan kepada 11 hari lengkap. Dalam tempoh 33 tahun akan terdapat perbezaan sebanyak 358 hari dan 21 jam. Menunjukkan di sini 33 tahun suria (Gregory) akan bersamaan 34 tahun Hijri.

            Pemahaman perbezaan hari dari takwim Gregory kepada takwim Hijri dapat dilihat dalam perbincangan di bawah ini:-

Setiap 33 tahun Gregory = tambahan 1 tahun Hijri bersamaan 34 tahun

Setiap 100 tahun Gregory = tambahan 3 tahun Hijri bersamaan 103 tahun

Setiap 300 tahun Gregory = tambahan 9 tahun Hijri bersamaan 309 tahun

Sebenarnya perbezaan antara takwim Gregory dan Hijri ini diambil dan pernah dirakamkan di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:-

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا

Bermaksud: “Dan mereka telah tinggal iaitu tidur di dalam gua mereka: tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab, dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu)”

                                                    Surah al-Kahfi (18): 25

Menurut al-Suyuti[2], ayat ini turun kerana ada pertanyaan mengenai thalatha mi’atin, kepada Rasulullah SAW. Adakah ianya berkaitan tiga ratus hari, atau bulan ataupun tahun, lalu turunlah ayat selepasnya sinin wazdadu tisa. Hal ini dikuatkan lagi oleh Ibn Abi Syaibah, Ibn Jarir, Ibn al-Mundhir dan Ibn Abi Hatim berkenaan dengan soalan yang diajukan sahabat kepada Rasulullah SAW ini[3].

Menurut riwayat Muhammad bin Ishaq, turunnya Surah al-Kahfi ini adalah disebabkan orang Quraisy mengutus al-Nadar bin Haris dan Uqbah bin Abi Muᶜait kepada pendeta-pendeta Yahudi di Madinah. Tujuannya adalah untuk menanyakan kepada Rasulullah S.A.W berkenaan isi dakwah yang dibawa oleh baginda. Apabila sampai di madinah mereka telah bertanyakan tiga soalan. Pertama, soalan berkaitan pemuda Ashab al-Kahfi yang tertidur di dalam gua pada masa dahulu. Kedua, soalan berkaitan seorang pengembara lelaki yang telah sampai ke negeri timur dan barat. Ketiga soalan berkaitan roh. Jika dia tidak boleh menjawab bermakna ia adalah seorang pendusta[4].

Rasulullah S.A.W telah menunggu wahyu sehingga lima belas hari untuk menjawab masalah tersebut. Masyarakat Mekah telah menyebarkan berita kesangsian terhadap baginda. Baginda telah bersedih, lalu turunlah Malaikat Jibril membawa wahyu menurunkan Surah al-Kahfi ini di mana sebahagian ayat yang dibincangkan ada terdapat di dalam surah ini.

Walaupun ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan ayat tersebut, tetapi sebahagian besar ulama[5] berpendapat bahawa ayat tersebut membicarakan berkenaan perbandingan tarikh antara takwim Syamsiyah (termasuk Gregory) dan takwim Hijri. Teori ini dikembangkan dengan terperinci seperti yang dihuraikan oleh M.Quraish Shihab dan menyatakannya seperti berikut[6]:-

Penambahan Sembilan tahun ini adalah disebabkan perbezaan tahun Syamsi (Gregory) dan Hijri. Tahun Gregory yang dikenali dengan takwim Gregory yang digunakan pada abad ke-16 itu berselisih sekitar sebelas hari dengan tahun Hijri. Sehingga tambahan sembilan tahun disebut dalam ayat di atas adalah dipertemukan dengan hasil darab 300 tahun x 11 hari = 3300 hari atau sekitar Sembilan tahun lamanya.

Oleh itu, ayat al-Quran di atas telah memberi maksud dan menggambarkan bahawa Ashab al-Kahfi telah tertidur di dalam gua selama tiga ratus tahun dengan kiraan tahun Gregory dan tiga ratus sembilan tahun menurut tahun Hijri. Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa terdapat lebihan 3 tahun pada setiap 100 tahun Gregory. Lebihan ini merupakan hak Allah dan sebagai manusia kita hendaklah mengikut ketetapan yang diperintah oleh Allah untuk mengikutinya.

RUJUKAN

1 Mujahid ʻImad ʻAbdul al-ʻAziz, Dalil al-Muslim al-Falaki (ʻAmman: Dar al-Hunayn li al-Nasyr wa al-Tawziʻ, 1994).35

2 ʻAbd. al- Rahman bin al-Kamal Jalal al-Din al-Suyuti, alDurr alManthur fi al-Tafsir bi al-Mathur, jil iv (Beirut: Dar al-Fikr, 1993).378.

3 Ibid.378

4 ʻUmar ʻAbd. al-Salam Tadmuri, Al-Sirah Al-Nabawiyah Li Ibnu Hisham Juz.1 (Beirut: Dar al-Kitab Al-ʻArabi, 1990).331; Lajnah Pentashihan Mushaf al-Quran Kementerian Agama RI, Al-Quran Dan Tafsirnya c.4 (Jakarta: Kementerian Agama RI, 2010). Juz13-14-15:577.

5 Ulama yang dimaksudkan ialah termasuk Ibn Jarir al-Tabari, Ibn Kathir, Tantawi al-Jauhari, Hasbi al-Siddiqi, Oemar Bakry dan Jabatan Agama Indonesia. Lihat Susiknan Azhari, Ilmu Falak Perjumpaan Khazanah Islam Dan Sains Moden. c.3 (Yogyakarta: Suara Muhammadiyah, 2011).92

6 Ibid.92


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.