Fenomena cuaca sejuk sekitar 21 darjah Celsius yang melanda negara ketika ini adalah disebabkan tiupan angin luluran sejuk yang berlaku semasa monsun timur laut. Kejadian tersebut berlaku akibat pengukuhan sistem tekanan udara tinggi Siberia-Mongolia yang membawa cuaca sejuk dari utara ke China dan memasuki Laut China Selatan sebelum bergerak ke Malaysia.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan beberapa kawasan di negara ini terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata bagaimanapun keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim monsun timur laut.

“Kejadian berlaku berikutan terdapat hujan yang berterusan, cuaca mendung dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sejak semalam”.

Mengulas lanjut, Alui berkata perubahan suhu itu turut disumbangkan oleh keadaan berawan dan hujan renyai di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta hujan sederhana di Pahang dan Johor.

“Fenomena ini dijangka akan kembali normal selepas hujan reda. fenomena ini juga tidak melanda negeri-negeri di utara Semenanjung”. tambahnya lagi.

sumber: Bernama

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.