Saya mengikuti isu Flat Earth (FE) atau Bumi Datar ini sejak ia mula viral sekitar hujung tahun lalu. Mulanya rasa tak berbaloi untuk dilayan, tetapi oleh kerana ramai yang bertanya dan semakin ramai yang terpengaruh dengan idea pelik ini termasuk dari kalangan cerdik pandai dan para asatizah, rasa terpanggil juga untuk menyentuh isu ini, di samping ia terkait juga dengan satu dari bidang kajian dan minat saya, fiqh falak.

Banyak juga masa terpaksa “dibazirkan” utk meneliti “argumentasi” yg dikemukakan penyokong idea ini melalui video di YT, FB, blog dan laman www mereka. Mereka yang beriman dengan FE mempunyai organisasi tersendiri dan membentuk komuniti sosial di alam maya yg mereka namakan Flat Earth Society. Ia berpangkalan di UK dan mempunyai cabang serta pengikut di serata pelusuk dunia, termasuk di Malaysia. Komuniti ini wujud sejak sekian lama dan cuba membuat “significant comeback” sejak beberapa tahun lalu.

Komuniti in imengaitkan teori FE ini dengan ajaran Bible dan mendakwa teori bumi bulat adalah satu konspirasi Barat dan Zionis pada tahap global sejak sekian lama. NASA dan Google didakwa menyembunyikan bukti dan fakta “sahih” tentang hakikat bentuk bumi datar serta posisi matahari dan bulan yang berbeza dari kefahaman konvensional. Idea dan teori mereka dirumuskan dalam beberapa buah karya terbaru seperti The Flat Earth Conspiracy oleh Eric Dubay dan The Greatest Lie on Earth: Proofs that Our World is not a Moving Globe oleh Edward Hendrick. Laman web The Atlantean Conspiracy boleh dirujuk untuk mendalami hujah-hujah mereka. Menariknya hujah-hujah mereka digunapakai oleh pengikut dari umat Islam yang sebelumnya menggunakan hujah-hujah dari al-Quran.

Ratusan hujah dikemukakan merangkumi aspek fizik, logik, geografi, navigasi dan aviasi, tetapi satu pun tidak dpt meyakinkan saya. Malah banyak yang kelakar. Banyak yang boleh dijawab secara logik tanpa menggunakan teori fizik dsb. Saya tidak berminat untuk membaca semua hujah mereka kerana banyak yang kelihatan “rubbish” dan tidak masuk akal, malah boleh ditolak oleh simple logic. Saya belum mahu menjawab menggunakan hujah al-Quran dan teori falak. Insya Allah lain kali. Cuma saya cuba memikirkan beberapa teori mereka dari sudut logik:

1. Seperti yang mereka gambarkan, bumi ini datar, bulat cakera (disc), bukan sfera, statik, di tengahnya ialah Artik (utara) dan Antartik (selatan) dikelilingi oleh dinding ais setinggi 150m, dikawal oleh NASA supaya tiada sesiapa yang memanjat hujung cakera dan jatuh ke “dunia lain.” Whaattt?? Macam cakera? Kenapa tidak tiga atau empat segi, lima atau enam segi? Bagaimana mereka tahu bumi ini seperti cakera? Bukti? Tiada spesifikasi bumi dinyatakan.

2. Menurut FE, bumi statik, yang beredar ialah matahari dan bulan (earth centric). Saiz matahari dan bulan lebih kecil dari bumi. So… matahari sentiasa beredar di atas cakera bumi, tetapi kenapa tidak semua bahagian bumi mendapat cahayanya, atau mengalami siang selamanya? Jika suria sentiasa di atas cakera bumi, semua pelosok bumi akan mendapat cahaya, banyak atau sedikit bergantung kpd jarak matahari ke permukaan bumi.

3. FE guna hujah radius cahaya bagi teori siang dan malam, semakin jauh matahari, akan berlaku gelap atau malam. Sama spt lampu jalan, semakin jauh kita darinya semakin gelap. Cuma soalannya kenapa matahari kelihatan saiznya hampir sama semasa terbit, tengahari dan terbenam. Sepatutnya ia kelihatan sangat kecil ketika terbit dan terbenam kerana berada sangat jauh dan sangat besar pada waktu tengahari kerana ia berada dekat dengan kita. Ini menafikan logik. Seperti lampu jalan, kalau dekat nampak besar, kalau jauh semakin kecil. Objek lain di langit pun sama. Kapal terbang nampak besar jika dekat, semakin jauh semakin kecil. Matahari yang kita nampak ialah sebaliknya, saiznya sama sewaktu muncul, tegak di langit dan sewaktu menghilang. Fenomena Supermoon baru yang berlaku baru-baru ini juga membuktikan FE salah kerana kemunculannya di ufuk lebih besar dari biasa berbanding pada waktu ia tegak di langit.

4. FE menegaskan laut mendatar membuktikan bumi mendatar. Jadi, jika kita berdiri di pantai melihat ke laut, kenapa kita tidak dapat melihat daratan yang jauh di seberang. Guna teleskop berkuasa tinggi pun tak nampak. Cth: berdiri di pantai di pantai barat Morocco, teropong ke New York. Atau ambil yg dekat, spt dari Port Dickson, teropong ke Pulau Rupat Sumatera. Kalau bumi datar, confirm boleh nampak walaupun jauh. Atau naik ke titik paling tinggi di dunia, Gunung Everest, teropong guna teleskop berkuasa tinggi ke mana-mana skyscrappers di seluruh dunia spt menara Empire State New York, atau Burj Khalifa Dubai. Atau ke mana-mana kawasan seluruh dunia pun boleh nampak jika bumi datar. Kalau di Malaysia, cuba teropong dari Gunung Kinabalu ke Menara Berkembar KLCC. Satu lagi, kalau bumi datar kenapa ada ufuk (horizon)? Sepatutnya semua bahagian langit kelihatan di atas, awan di atas, sebagaimana “atasnya” matahari dan bulan ketika siang. Kewujudan ufuk membuktikan bumi melengkung dan sfera.

5. Kenapa seseorang yang berada di hemisfera utara tidak dapat melihat bintang selatan, dan yang berada di hemisfera selatan tidak dapat melihat bintang utara. Kalau bumi tidak melengkung dan mendatar sahaja sudah tentu kedua-dua bintang boleh dilihat dari mana-mana titik di bumi. Putaran buruj di utara dan selatan ke arah yang berbeza (lawan jam di utara dan ikut jam di selatan) juga membuktikan bumi yang beputar, bukan matahari. Pusaran angin dan air yang berbeza di hemisfera utara dan selatan membuktikan bumi berputar.

Cukuplah sedikit hujah logik di atas. Hujah terperinci sangat banyak yang boleh dilihat dalam pelbagai disiplin ilmu.

Memang pada mulanya manusia mempercayai bumi ini datar. Tetapi dengan perkembangan tamadun dan sains, kepercayaan ini terhakis kerana telah dibuktikan bahawa bumi ini sfera. Phytagoras, Plato, Aristotle dan ahli astronomi terkenal Ptolemy adalah antara tokoh terawal yang berjaya membuktikan bumi sfera sebelum teori ini disisih oleh Gereja kerana bertentangan dengan ajaran Bible. Galileo (kurun ke 17) juga dihukum murtad oleh pihak Gereja kerana mengemukakan teori bumi bulat dan heliosentrik. Sebelum Galileo, dalam tamadun Islam sendiri, tokoh saintis dan astronomi Muslim zaman Abbasiyyah seperti al-Biruni, Ibn Yunus, al-Farghani, al-Khawarizmi dll telah membuktikan bumi sfera. Tanya dan kajilah pandangan mana-mana sarjana astronomi Muslim, semua sepakat tentang perkara ini.

Ilmu astronomi hari ini diasaskan atas teori heliosentrik. Jika kita menerima tanggapan bumi datar, banyak ilmu dan teori yang sudah lama establish akan terbatal, termasuk teori-teori falak seperti perkiraan waktu solat, hitungan arah kiblat, ramalan gerhana, penetapan taqwim dan hisab falaki yang lain. Teori bumi sfera menepati semua teori dan perkiraan sedia ada. Sangat pelik kenapa masih ada yang percaya bumi datar.

Teori sains astronomi berasaskan penyelidikan dan eksperimen yang dibuktikan. Ia bukan spt “teori” Darwin yang tidak dapat dibuktikan malah bertentangan dengan teori genetik dan biologi. Bumi bulat bukan konspirasi. Ia sesuai dgn observasi, eksperimen, pengesahan pihak bebas dan ramalan yg tepat. Malah ia sesuai dengan dalil-dalil al-Quran.

Mempercayai bumi datar bagaimanapun tidaklah menyalahi aqidah Islam, cuma mereka yang mempercayainya perlu membina teori baru tentang falak terutamanya yang melibatkan ibadah spt kaedah penentuan waktu solat, penentuan kalendar, malah mereka perlu menyemak semula arah kiblat kerana peta di bumi datar berbeza arah dengan bumi sfera.

Munculnya teori ganjil seperti FE dalam dunia sofistikated ini tidak dapat diterima akal dan ilmu. Dakwaan teori bumi sfera sebagai konspirasi Barat dan Zionis adalah sesuatu yang agak mustahil kerana tidak jelas apa tujuannya. Malah, teori FE itu sendiri berkemungkinan satu bentuk konspirasi baru yang bertujuan menguji sejauh mana pseudoscience diterima oleh masyarakat. Jika ramai manusia menerima idea pseudoscience sebegini, lebih mudah mereka mencipta siri-siri konspirasi lain untuk menguasai minda dan kepercayaan mereka, dan seterusnya memudahkan mereka mengawal dan mencaturkan dunia ini.

Penulis adalah seorang pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Menjadi Panel Pakar Falak Jakim sejak 2013

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.