Agensi Berita Kerajaan Arab Saudi (www.spa.gov.sa) telah melaporkan bahawa hasil keputusan Mahkamah Agung Arab Saudi telah menetapkan tarikh 1 Zulhijjah 1439 pada hari Ahad 11 Ogos 2018. Ketetapan ini berdasarkan kepada penyaksian anak bulan (rukyah) oleh beberapa orang saksi di Arab Saudi dan berpandukan kepada kalendar Umul Qura. Ini bermakna Arab Saudi akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 21 Ogos 2018. Manakala hari wukuf atau hari kemuncak ibadah haji jatuh pada 9 Zulhijah 1439 Hijrah bersamaan 20 Ogos 2018 di negara yang terletakknya kiblat ummat Islam itu. Namun, ummat Islam di Malaysia agak berlainan, diputuskan akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos 2018, sehari lebih lewat dari Arab Saudi. Ini bermakna tarikh 1 Zulhijah 1439 jatuh pada hari Isnin 12 Ogos 2018. Manakala tarikh hari raya Aidiladha 10 Zulhijah 1439 jatuh pada 22 Ogos 2018 di negara ini. Arab Saudi juga akan merayakan Aidiladha sehari lebih awal dari negara-negara dirantau ini termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Persoalannya, bolehkan orang Islam di Malaysia merayakan Aidiladha pada 21 Ogos 2018 berpandukan rukyah anak bulan yang diterima oleh Arab Saudi?
Islam telah mengariskan rukyah anak bulan merupakan satu ibadah dalam menentukan tarikh hari raya Aidiladha. Malaysia sejak tahun 1994 sehingga sekarang ini menentukan tarikh Aidiladha berpandukan kepada rukyah dan hisab secara tempatan. Ini disebabkan oleh beberapa dalil-dalil yang berkaitan seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan 189 mengenai penentuan Aidiladha dengan menggunakan rukyah anak bulan. Antaranya firman Allah yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa, dan siapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…” al-Baqarah ayat 185

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu adalah menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia khasnya ibadat Haji; Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah-rumah dari belakangnya (ketika kamu berihram), akan tetapi kebajikan itu ialah kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertakwa; dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu berjaya”   al-Baqarah ayat 189

Disamping itu terdapat juga terdpat hadis –hadis riwayat Muslim mengenai ibadah korban berpandukan kepada rukyah anak bulan. Seperti;

“Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.”

“Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya (yakni membuang rambut dan kulitnya).’

Akan tetapi bukan semua rukyah anak bulan disesuatu kawasan atau tempat boleh digunakan pada kawasan atau tempat yang lain. Dalam hal ini hadis telah menjelaskan kawasan yang berbeza matla’ boleh menentukan tarikh 1 Aidiladha berpandukan kenampakan anak bulan ditempat masing-masing. Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit dan terbenam yang hampir sama. Sesetengah negara berada pada matla’ yang sama, manakala sesetengah negara yang lain berada pada matla’ yang berbeza. Bagi kawasan yang berada dalam satu matla’ boleh berpandukan kepada rukyah anak bulan dalam lingkungan matla’ yang ditetapkan. Hadis riwayat Muslim boleh dijadikan panduan dalam perbezaan matla’ ini.

“Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Syam. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Syam dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa negara yang berlainan matla’ boleh menetapkan tarikh Aidiadha mengikut rukyah anak bulan negara masing-masing. Seperti Madinah dan Negara Syam yang mempunyai matla’ yang berbeza. Kenampakan di Syam tidak boleh diterima pakai di Madinah seperti yang ditunjukkan dalam hadis tersebut. Hal yang sama, negara Malaysia tidak berada berdekatan dengan negara Arab Saudi dan sudah tentu mempunyai matla’ berbeza dengan Arab Saudi. Justeru Malaysia boleh berbeza dalam menentukan tarikh Aidiladha dengan Arab Saudi kerana mempunyai matla’ berbeza. Malah kedudukan Malaysia lebih timur manakala Arab Saudi berkedudukan lebih barat. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara adalah sekitar lima jam. Justeru, sekiranya Malaysia tidak nampak anak bulan, namun peluang untuk Arab Saudi melihat anak bulan lebih besar berbanding Malaysia.

Dalam penentuan awal bulan Hijriah, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang lebih dikenali dengan MABIMS telah memutuskan untuk menggunakan kaedah hisab dan rukyah yang dikenali sebagai kaedah imkanurukyah. Pada 11 Ogos 2018 semasa cerapan anak bulan dilakukan, kedudukan anak bulan berada dibawah ufuk khususnya di Malaysia. Justeru anak bulan dilaporkan tidak kelihatan diseluruh lokasi-lokasi rasmi cerapan anak bulan. Malah hasil hisab mendapati anak bulan tidak memenuhi syarat kriteria yang ditetapkan oleh MABIMS. Oleh demikian, 1 Zulhijjah 1439 ditetapkan pada 12 Ogos 2018. Bebeza dengan negara Arab Saudi kedudukan anak bulan di negara tersebut melebihi 2 darjah di atas ufuk dengan umur anak bulan adalah 6 jam. Sudah tentu Arab Saudi juga melakukan cerapan pada petang 29 Zulkaedah 1439. Hasilnya Arab Saudi melaporkan anak bulan telah kelihatan dan menerima kesaksian kenampakan anak bulan. Justeru Arab Saudi menetapkan awal Zulhijjah 1439 pada sehari lebih awal dari rantau ini. Walaupun mengikut ilmu astronomi/falak ia sukar untuk kelihatan, namun keputusan yang dilakukun oleh Arab Saudi menerima kasaksian anak bulan tersebut perlu dihormati.

Mazhab Shafi’i pula telah berpendapat setiap negara boleh menerima kesaksian cerapan anak bulan mengikut mat’la masing-masing. Seperti yang terdapat dalam kitab al-Majmu’ , Mugni al-Muhtaj dan Hasyiah ‘Inah al-Talibin yang menyatakan sekiranya anak bulan kelihatan disesuatu tempat hanya tempat yang berdekatan yang boleh menerima pakai kenampakan tersebut. Manakala tempat yang berjauhan tidak boleh menerima kenampakan anak bulan itu kerana perbezaan matla’. Ini bermakna Malaysia berada di Asia Terenggara berada jauh dari negara Arab Saudi yang terletak di Asia Barat. Sudah tentu bagi Malaysia penentuan tarikh satu Zulhijjah mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS adalah tepat. Natijahnya, kesaksian kenampakan anak yang diterima oleh Arab Saudi tidak boleh diperluaskan ke negara ini.
Ekoran dari itu juga, Agama Islam menggalakkan puasa Arafah kepada orang yang tidak mengerjakan haji pada pada 9 Zulhijjah. Hukum puasa dihari Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji adalah sunat. Berpuasa pada tarikh tersebut mempunyai banyak kelebihan atau fadhilat seperti yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim; Dari Abu Qatadah bahawasanya baginda ditanya mengenai puasa hari Arafah, lantas baginda berkata,”Ia menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya.” Puasa Arafah perlu dilakukan mengikut waktu Malaysia iaitu sejak waktu subuh sehingga terbenam matahari. Begitu juga halnya dalam ibadah korban seperti ibadah solat, pelaksanaanya tertakluk kepada waktu tempatan.

Tambahan pula, senario untuk menukar kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia kepada berpandukan hari wuquf pernah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23 April 2002. Hasil Muzakarah telah menolak cadangan penentuan aidiladha berdasarkan hari wukuf dan mengekalkan kaedah penetapan aidiladha di Malaysia yang berdasarkan kepada kaedah rukyah anak bulan zulhijjah yang berasaskan kaedah imkanurukyah yang diamalkan dinegara ini. Justeru, pelaksanaan puasa sempena hari arafah di Malaysia mestilah dilaksanakan pada 9 Zulhijjah 1439H bersamaan hari Selasa 21 Ogos 2018 manakala hari Raya Aidiladha di Malaysia akan disambut pada 10 Zulhijjah bersamaan hari Rabu 22 Ogos 2018.

Dr Saadan Man
Panel Pakar Falak JAKIM
Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh & Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.