Menyingkap Perbezaan Tarikh Awal Ramadan 1443H/2022M

0
2305

Kedatangan Ramadan tahun ini disambut dengan penuh rasa syukur di kebanyakan negara Islam setelah pelbagai pemansuhan sekatan akibat covid-19. Ramadan tahun ini 1443H/2022M, secara umumnya sebanyak 23 negara yang terletak di Timur Tengah, Asia Tengah dan Afrika  menyambut 1 Ramadan 1443 pada 2 April 2022. Di samping itu juga, terdapat umat Islam di rantau ini memulakan puasa pada tarikh yang sama.  Manakala umat Islam di  11 buah negara seperti   Bangladesh, Brunei Darussalam, India, Indonesia, Iran, Jordan, Moroko, Oman, Pakistan, Singapura termasuk Malaysia berpuasa lewat sehari iaitu 3 April 2022 bukan 2 April 2022.

Hisab dan Rukyah

Semua Umat Islam yang berpuasa pada  2 April  2022 atau 3 April 2022 sudah tentu berlandaskan sumber hukum yang sama  iaitu Al-Quran (al-Baqarah ayat 185, Al-Baqarah 189) dan antara hadis yang dirujuk adalah;

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih Bukhari).

Rasulluh SAW bersabda“Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berbuka sehingga kamu melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka taqdirkanlah” (Sahih Bukhari).

Namun begitu, dalam aspek pelaksanaan mekanisme penentuan awal Ramadan membawa kepada perbezaan pendapat dikalangan para ulama. Antaranya penentuan berdasarkan rukyah (cerapan) anak bulan, berdasarkan  hisab (pengiraan) falak/astronomi, kombinasi antara hisab dan rukyah. Terdapat juga perbahasan di kalangan ulama yang menyentuh mengenai kenampakan anak bulan di sesebuah negara boleh dijadikan rujukan untuk berpuasa di negara lain atau sebaliknya.

Kenapa Malaysia dan Negara Lain Mula Berpuasa  3 April 1443H?

Berdasarkan sumber hukum, terdapat negara yang mengaplikasikan konsep imkanurukyah (possibility of sighting). Konsep ini menggabungkan rukyah dan hisab bagi merumuskan satu set kriteria untuk anak bulan yang dijangka boleh kelihatan. Kriteria-kriteria ini lahir daripada dua pendekatan sama ada pendekatan empirikal atau teoretikal. Secara empirikal, ia berdasarkan rekod cerapan anak bulan dalam tempoh tertentu, di mana ahli astronomi menganalisis dan membentuk kriteria kenampakan anak bulan. Secara teoretikal pula, kajian dijalankan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor yang mempengaruhi kenampakan anak bulan seterusnya membentuk model-model metematik.  Kriteria teoretikal yang dihasilkan mengambil kira beberapa aspek seperti jarak bulan dan matahari, kelebaran anak bulan, keamatan cahaya anak bulan, kecerahan langit, peranan mata manusia dalam cerapan anak bulan dan lain-lain lagi.

Rajah 1 : Zon Kemungkinan Kenampakan Anak Bulan Mengikut Odeh (2004)- 1 April 2022

Contohnya pada tahun 2004 Odeh telah menggunakan pendekatan empirikal menghimpunkan 737 data yang berjaya dicerap (nampak) dan tidak nampak dalam satu jurnal astronomi.  Berdasarkan rekod data cerapan serta disaring sejak beratus tahun beliau telah mengelaskan data-data tersebut kepada beberapa bahagian atau zon.  Seperti dipaparkan pada Rajah 1  terdapat zon dalam keadaan tertentu anak bulan mustahil untuk dilihat (warna merah),  zon anak bulan tidak mungkin dilihat (warna putih), zon anak bulan hanya boleh dilihat dengan bantuan alat optik seperti teleskop, teropong dan lain-lain (warna biru),  zon anak bulan boleh dilihat dengan menggunakan bantuan optik atau boleh dilihat menggunakan mata kasar (magenta), dan zon anak bulan secara mudah dilihat dengan menggunakan matakasar (hijau).

Negara MABIMS mengadpatasi Kriteria Imkanurukyah Baru

Pada tahun ini, negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam (MABIMS) telah bersetuju mengadapatasi kriteria baru MABIMS (2021) iaitu; 

“ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang 3°dan jarak lengkung Bulan Matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4°”

Sebelum ini MABIMS (1992) telah menerapkan kriteria lama. Iaitu;“Ketika matahari terbenam,  ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari 3°, atau; Ketika anak bulan terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku”

Secara umumnya kriteria-kriteria ini berperanan untuk menyusun kalendar Hijriah contohnya pada 29 Muharam 1443 diteliti sama ada kedudukan anak bulan memenuhi kriteria atau tidak, sekiranya memenuhi kriteria keesokan harinya dijadikan 1 Safar 1443, sekiranya tidak memenuhui kriteria maka kesokan harinya digenapkan bulan Muharam 1443 sebanyak 30 hari.  Kriteria ini juga menjadi panduan dalam penentuan awal puasa dan hari raya. 

Kriteria MABIMS (1992) merupakan produk ijtihad ahli falak/astronomi dan ulama terdahulu dan telah berjaya menjaga kehormonian dalam urusan keagaaman di negara MABIMS khususnya yang melibatkan penyusunan takwim dan isu-isu fiqh yang melibatkan takwim. Justeru, kita menghormati ijtihad orang terdahulu mendahului kita.

Mengapa kriteria imkanurukyah MABIMS dipinda ?  

Namun begitu, sesuai dengan produk ijtihad yang berdasarkan kepada data-data kenampakan anak bulan ia perlu dinilai dan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa. Kriteria MABIMS (1992) sebelum ini telah dikritik dari aspek saintifik dalam praktikal kenampakan anak bulan yang sebenar. Sudah tentu, satu kriteria itu perlu disemak dengan hasil cerapan di lapangan. Hasil adaptasi kriteria MABIMS (1992) mendapati tiada rekod anak bulan dilaporkan pernah kelihatan dengan berpandukan kriteria terbabit.  Contohnya cerapan yang diusahakan oleh pihak berwajib di Teluk Kemang, Negeri Sembilan selama 20 tahun menemui tiada rekod membuktikan anak boleh 8 jam boleh dan telah kelihatan secara saintifik. Hatta, rekod diseluruh dunia tidak menemui lagi anak bulan 8 jam boleh kelihatan dengan mata kasar.  Disamping itu, aspek data-data yang digunakan dalam merumuskan kriteria MABIMS (1992)  juga dikritik dari aspek kesahan dan kebolehcayaan data-data tersebut.   Penggunaan Kriteria MABIMS (1992) juga membuktikan anak bulan sukar untuk kelihatan di Malaysia pada hari mencerap anak bulan dan ada tikanya dengan anak bulan masih belum ijtimak semasa hari cerapan dilakukan. Mencerap anak bulan sebelum ijtimak berlaku seperti seseorang ingin menziarahi bayi yang baru lahir sedangkan bayi masih belum keluar dari perut si ibu.

sumber :https://www.islam.gov.my/ms/berita/1053-muzakarah-rukyah-dan-takwim-islam-negara-anggota-mabims-tahun-2016

Justeru, kajian, mesyuarat, pertemuan, munaqashah, muzakarah dilakukan di peringkat negara MABIMS untuk membincangkan satu kriteria baharu.  Satu konsensus telah dicapai bagi mengemukakan kriteria baru untuk diaplikasikan di negara anggota MABIMS. Sudah tentu kriteria baharu ini juga bersifat dinamik akan diterus dikaji dan akan disemak dari masa ke masa.   Ini kerana kenampakan anak bulan bukan hanya faktor kriteria semata-mata, agak rumit (complicated), melibatkan pelbagai faktor seperti jarak kedudukan bulan dari matahari relatif kepada ufuk, kecerahan bulan dengan kecerahan langit, kepekaan mata, keadaan atmosfera, faktor psikologi  dll pendeknya ia melibatkan ilmu syariah, astronomi, meteorologi, dan psikologi.

Rajah 2: Kedudukan Anak Bulan ketika matahari terbenam 29 Syaaban 1443 di Malaysia

Pada 1 April 2022 lalu , kedudukan anak bulan di Malaysia mengikut kriteria Odeh (2004) dan kriteria baharu MABIMS (2021) tidak memenuhi kriteria (Rajah 1) (Rajah 2), umur bulan pula dalam 5 jam dari Ijtimak (bumi-bulan-matahari) dan sudah pasti anak bulan tersebut berada pada zon tidak mungkin dilihat sama ada menggunakan mata kasar mahupun bantuan optik (Rajah 1). Hasil cerapan di 29 tempat rasmi di Malaysia, Sidang Isbat (Pertemuan yang menerima laporan kenampakan anak bulan)  di Indonesia, Brunei melaporkan anak bulan tidak kelihatan. Malaysia,  Indonesia, Brunei menyambut 1 Ramadan 1443 pada 3 April 2022 ekoran daripada anak bulan dilaporkan tidak kelihatan. Bagi negara Singapura pula tiada tempat sesuai untuk mencerap anak bulan, mengikut pengiraan (hisab) kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria MABIMS (2021) pada 1 April 2022, maka umat Islam di Singapura juga meyambut awal Ramadan 1443 pada 3 April 2022. 

Sumber: https://tdjamaluddin.wordpress.com/category/2-hisab-rukyat/

Bagi negara makin barat dari negara Malaysia, umur anak bulan lebih besar contohnya Jordan 10 jam, Iran 9 jam dan begitu Pakistan ketika matahari tebenam dilokasi masing-masing. Namun begitu, mengikut rekod dunia anak bulan secara saintifik tidak pernah terbukti kelihatan di bawah 10 jam dengan bantuan optik. Justeru, sekiranya anak bulan tidak kelihatan di Jordan, Iran dan Pakistan adalah munasabah kerana negara-negara tersebut masih tergolong dalam negara zon yang sama seperti negara MABIMS -tidak mungkin anak bulan kelihatan (Rajah 1). Justeru, negara tersebut menyambut 1 Ramadan 1443 pada 3 April 2022. Walaupun, negara Moroko mempunyai peluang kenampakan anak bulan lebih tinggi iaitu 13 jam, namun selepas cerapan dilakukan anak bulan tidak kelihatan maka mereka menyambut 1 Ramadan 3 April 2022. 

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Kenapakah Umat Islam mula berpuasa pada 2 April 2022?

Terdapat juga negara atau kumpulan umat Islam yang bepandukan kepada kaedah tertentu dalam menentukan awal bulan Hijriah contohnya negara Turki dan organisasi Muhammadiyyah di Indonesia.  Sekiranya dilihat pada Rajah 1, negara Turki dan Indonesia sememangnya berada dalam zon anak bulan yang tidak mungkin anak bulan kelihatan. Bagi organisasi Muhammadiyyah, mereka mengamalkan hisab wujudulhilal sebagai pedoman untuk memulakan awal puasa sama ada 2 April 2022 atau 3 April 2022.  Secara ringkasnya, mengikut kriteria wujudlhilal sekiranya telah terjadi ijtimak dan anak bulan berada/wujud di atas ufuk negara Indonesia pada waktu maghrib 29 Syaaban 1443  maka keesookan harinya ditetapkan awal Ramadan. Sememangnya berdasarkan hisab anak bulan berada/wujud diufuk Indonesia pada 29 Syaaban 1443, Oleh itu, pengikut Muhammadiyah di Indonesia berpuasa pada 2 April 2022 berbanding kerajaan Indonesia yang menetapkan awal puasa pada 3 April 2022. 

Rajah 3: Peta Kenampakan Anak bulan menggunakan kriteria Imkanurukyah Turki (2016)
Sumber: https://vakithesaplama.diyanet.gov.tr/haritalar.php

Berbeza pula dengan negara Turki yang mengamalkan konsep Imkanurukyah seperti MABIMS, namun dengan nilai parameter kriteria kenampakan yang agak berbeza. Mengikut amalan di negara Turki yang merupakan penggerak penyatuan kalendar Islam Global, walaupun 29 Syaaban 1443 anak bulan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah diseluruh negara Turki, namun jika terdapat di mana-mana negara yang telah memenuhi kriteria imkanurukyah maka keesokan harinya boleh ditentukan 1 Ramadan 1443H di negara Turki. Pada 29 Syaaban 1443H tenyata kedudukan anak bulan tidak mungkin kelihatan di negara Turki (Rajah 3), Dengan erti kata lain, anak bulan belum memenuhi imkanurukyah di negara Turki pada tarikh tersebut. Namun terdapat kemungkinan anak bulan kelihatan di negara Eropah (Rajah 3) serta kedudukan anak bulan memenuhi kriteria imkanurukyah, Justeru umat Islam di negara Turki menyambut 1 Ramadan 1443 pada 2 April 2022.

Berita 1 Ramadan 1443 jatuh 2 April 2022 di Negara Arab Saudi

Sumber:https://www.spa.gov.sa/viewstory.php?lang=ar&newsid=2342860

Sehubungan itu, agak menarik juga diperhatikan kebanyakan negara Timur Tengah mengumumkan awal Ramadan pada 2 April 2022. Kita menghormati proses penentuan awal bulan negara terbabit kemungkinan mereka mengunakan konsep rukyah, hisab, atau berpandukan kenampakan anak bulan dari negara lain. Justeru, setiap negara mempunyai alasan masing-masing dalam menentukan tarikh awal puasa 1443. Marilah kira raikan perbezaan dan hormat saling menghormati antara satu sama lain.  

Selamat Berpuasa.

sumber :https://www.islam.gov.my/ms/berita/1053-muzakarah-rukyah-dan-takwim-islam-negara-anggota-mabims-tahun-2016

Artikel yang disiarkan ini adalah 100% dari website https://jurufalak.com/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.