Salah satu dari perkara yang menimbulkan polemik sepanjang zaman dalam kalangan umat Islam ialah perbezaan tarikh puasa Ramadan, Aidil Fitri dan Aidil Adha. Baru-baru ini pun kecoh apabila Arab Saudi dan beberapa negara merayakan Aidil Fitri pada Selasa 4 Jun 2019, Malaysia dan majoriti negara lain pada Rabu 5 Jun 2019, manakala Brunei pada Khamis 6 Jun 2019. 3 hari yang berbeza ini mengelirukan ramai orang. Namun kita kena faham bahawa ia disebabkan beberapa isu yang masih belum disepakati: rukyah atau hisab?; penentuan sempadan matla’ dan perbezaan kriteria hisab. Isu ini memerlukan kupasan yang detail tetapi saya ringkaskan dalam beberapa point berikut dalam konteks rukyah dan hisab sahaja;

1. Arab Saudi sejak dahulu mengamalkan rukyah dan tidak pernah mengikut hisab. Mereka strictly depend on rukyah utk bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Fatwa-fatwa ulama mereka tidak membenarkan penggunaan hisab bagi penentuan puasa dan hari raya. Utk bulan-bulan lain mereka sebagaimana negara Islam lain menggunakan hisab utk penetapan awal bulan. Namun sistem rukyah mereka sangat longgar dan sering didakwa tersilap kerana mereka mengambilkira akuan/ syahadah rukyatul hilal oleh orang awam walaupun rukyah melalui alat moden spt teodolit dan binokular pada tarikh dan masa yg sama tidak kelihatan. Mereka meraikan kenampakan awam dan mengambilkira ia sebagai rukyah yg diterima walaupun mungkin bertentangan dengan hisab. Bagi mereka, ini Sunnah yg perlu diikuti kerana hadis-hadis rukyah adalah khusus untuk bulan-bulan berkenaan.

2. Kelemahan kaedah penerimaan kenampakan awam ialah orang awam banyak tersalah rukyah kerana tiada kemahiran. Nampak cahaya berkelip bersinar sahaja dianggap hilal. Tetapi ia tetap diperakukan oleh mahkamah Saudi berdasarkan syahadah dan sumpah mereka. Sudah banyak kes tersalah rukyah berlaku di Saudi sejak sekian lama, termasuk kenampakan cahaya planet Zuhal dsb seperti yg banyak dilaporkan oleh media pada 2011. Sebab itulah banyak kritikan terhadap Saudi kerana kaedah rukyah yg longgar ini.

3. Bulan-bulan lain, Saudi ikut hisab dengan menggunakan kriteria Ummul Qura/ Wujudul Hilal – iaitu adanya bulan selepas ijtimak dan terbenam hilal selepas terbenamnya matahari. Bagaimanapun kriteria ini banyak kelemahan kerana walaupun hilal baru telah ada, jika umurnya masih terlalu muda, kemungkinan utk kelihatan adalah sangat mustahil. Kenampakan melalui rukyah pada ketika itu adalah mustahil. Ringkasnya ia tidak tally dengan rukyah.

4. Bagaimanapun, kaedah ini telah didakwa digunakan pada Syawal lalu oleh Arab Saudi, di mana data mengikut Accurate Times 5.6 yg dibangunkan oleh Odeh dari ICOP, di Makkah ijtimak berlaku pada jam 13.02 LT, Sunset 7.03, Moonset 7.04. Kedua-dua syarat kelihatan dipenuhi. Namun saya tidak yakin mereka bergantung kepada hisab ini pada Syawal lalu kerana ia bertentangan dengan kaedah tradisi lama mereka merukyah dan menerima cerapan awam. Walaupun Arab Saudi sudah banyak berubah dan terbuka akibat post modernisme pasca Wahhabism, saya tidak rasa mereka terkesan dalam konteks rukyah dan hisab kerana mereka syadid dlm bab ini. Ia hanya satu kebetulan. Laporan media menyatakan ada kenampakan hilal di sana dan ini menunjukkan ada orang awam yang “nampak” hilal walaupun data menyatakan mustahil.

5. Jadi dalam konteks penentuan Syawal baru-baru ini, Arab Saudi menggunakan kenampakan rukyah pada 29 Ramadan, 3 Jun dan mengisytiharkan Aidil Fitri pada 4 Jun Selasa. Cuma ia kebetulan bertepatan dengan takwim Ummul Qura mereka. Itu keputusan rasmi mereka dan kita hormati.

6. Brunei pula merukyah hilal Syawal pada 4 Jun kerana mereka berpuasa lewat sehari dari kita. 29 Ramadan mereka ialah 30 Ramadan Malaysia. Oleh kerana hilal tidak kelihatan walaupun sudah berumur lebih 25 jam, mereka menggenapkan 30 hari Ramadan dan mengisytihar Aidil Fitri pada Khamis, 6 Jun 2019. Berbeza dua hari dari Arab Saudi. Adapun cerapan di Malaysia dan Indonesia pada 30 Ramadan, hilal jelas kelihatan (lihat data ICOP). Ini juga menimbulkan isu matla’ yg seolah tidak diambilkira oleh Brunei.

7. Sebenarnya Brunei, sama dengan Arab Saudi dari segi menggunakan kaedah rukyah secara strict pada 3 bulan sahaja, Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Cuma pada bulan-bulan lain, mereka menggunakan hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah (IR) sama dengan Malaysia. Brunei walaupun sebahagian negara Mabims, tapi utk 3 bulan itu mereka berkecuali dan ini dipersetujui oleh semua negara Mabims lain. Bersetuju utk berbeza. Jadi kita hormati pendirian Brunei utk mengikut Sunnah secara ketat dalam 3 bulan ini walaupun ia tidak konsisten.

8. Malaysia pula menggabungkan antara rukyah dan hisab utk sepanjang tahun. Ini amalan yang konsisten sejak 1992. Ketetapan ini adalah satu dasar yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan ia sentiasa dipatuhi oleh setiap negeri dan pusat. Kaedah ini bertepatan dengan tuntutan Sunnah dan kaedah kiraan moden. Ia diakui sebagai kaedah terbaik buat masa ini. Salah satu faktor asas digabungkan rukyah dan hisab ialah kerana rukyah yang tidak efektif kerana langit di kawasan kita yang berawan tebal. Rukyah di kawasan berawan tebal dan banyak mendung tidak sama dengan rukyah di padang pasir yang langitnya selalu cerah. Rukyah sebegini sukar menampakkan hilal walaupun hilal sudah berumur dan sepatutnya kelihatan dan banyak bergantung kepada nasib. Lantaran itu ulama falak mengharuskan penggunaan hisab sebagai membantu rukyah yang sukar.

9. Tidak benar jika ada yang mendakwa Malaysia mengikut hisab semata-mata dan hanya “berlakon” rukyah. Ini dakwaan yang sangat nakal. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya saling lengkap melengkapi kerana jika ada ralat oleh salah satu dari keduanya, ia boleh diperbetulkan oleh yang satu lagi. Hisab juga sangat perlu untuk membantu pencerap memilih ketetapan waktu, masa dan tempat merukyah. Rukyah sukar dilakukan tanpa hisab. Data-data hisab sangat diperlukan bagi ketepatan rukyah. Pada kebiasaannya data cerapan rukyah di Malaysia bertepatan dengan hisab.

10. Kaedah hisab yang Malaysia pakai ialah berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah (kemungkinan boleh rukyah), iaitu 2, 3, 8, sbgmana yg sedia diketahui. Iaitu hilal berada sekurang-kurangnya 2 darjah atas ufuk, 3 darjah elongasi dari matahari sebelum terbenam atau telah berusia minima 8 jam ketika terbenam. Kita tidak ikut kriteria IR Turki, 5 darjah atas ufuk sblm terbenam dan 8 jam kerana laporan data dari Indonesia mendakwa pernah nampak pada 2,3,8. Oleh kerana kriteria ini dikritik kerana tiada data kenampakan di Malaysia, ia sedang dalam proses diubah/ dipertingkatkan dan menunggu masa approval dari Mabims. Sekarang kita masih menerimapakai 2,3,8 ini.

Semasa rukyah Syawal pada 3 Jun lalu iaitu pada 29 Ramadan (rukyah mesti dilakukan pada 29hb, bukan 30hb) data hisab menunjukkan pada titik paling barat Malaysia (Tg Chincin, Langkawi), bulan berada pada -0.24 (di bawah ufuk), jarak bulan ke matahari 2 darjah 57 min dan umur hilal 1 jam 26 min. Jadi, ia tidak memenuhi kriteria. Rukyah tak akan nampak tetapi kita perlu merukyah kerana ia tuntutan nas. Oleh kerana hilal tidak kelihatan, maka kita genapkan bulan Ramadan 30 hari. Ini kaedah yg disepakati tentang rukyah. Lalu Aidil Fitri diisytihar pada 5 Jun Rabu. Ia menepati kaedah rukyah dan bertepatan dengan hisab. Jelas kita menggunakan kedua-dua kaedah, rukyah dan hisab.

11. Di Malaysia ada 29 lokasi cerapan hilal yang diwartakan bagi tiga bulan berkenaan dan ini menafikan dakwaan kita tidak merukyah. Malaysia juga telah belanjakan jutaan RM utk bina balai cerap di hampir setiap negeri utk cerapan dan rukyah hilal. Peralatan cerapan juga melibatkan perbelanjaan berjuta RM. Kita melakukan cerapan hilal tiap-tiap bulan tidak pernah ketinggalan. Data cerapan rukyah hilal di Teluk Kemang dilakukan oleh Jakim dgn kerjasama UM setiap bulan sejak puluhan tahun lalu utk penambahbaikan kriteria kenampakan hilal.

12. Gabungan rukyah dan hisab adalah pilihan majoriti ulama falak Malaysia sejak turun temurun. Ia dimajukan dari zaman Syeikh Tahir Jalaluddin, membawa ke era Hj Mohd Khair Taib, Dato Dr Haron Din dan diwarisi dari mereka hingga sekarang dan kaedah ini masih dipegang oleh Jakim dan semua negeri di Malaysia. Kaedah IR 2,3,8 sering dilihat ada kelemahan dan ia sedang diberi penambahbaikan. Ada beberapa kajian dilakukan di UM dan mencadangkan perubahan kriteria. Kaedah yg digunakan tidak dipertikaikan kerana telah diendorse oleh MRRM. Jika ada pertikaian oleh awam, mereka boleh ajukan kpd pihak berautoriti, Jakim dan Jabatan Mufti Negeri.

13. Di Jakim, dikumpulkan pakar2 falak dalam Jawatankuasa Panel Pakar Falak yg terdiri dari wakil akademia – sains fizik, astronomi Islam/ falak syarie, wakil jabatan ukur, wakil persatuan falak, tokoh falak dsb. Mereka ini ada kepakaran yang diiktiraf dalam bidang falak. Di Jabatan Mufti setiap negeri pula ada bahagian atau unit falak yg menjalankan fungsi mereka dalam 3 isu utama: penentuan waktu solat, penetapan awal kalendar hijri dan penentuan arah kiblat. Mereka semua terlatih dan berpengetahuan luas dalam bidang falak.

14. Isu2 falak lokal, serantau dan internasional dibincangkan di banyak platform. Jakim ada bahagian Falak yang mengendalikan program Muzakarah Falak dan Munaqasyah Fiqh Falak secara alternate setiap tahun dengan kerjasama jabatan Mufti setiap negeri. Semua isu falak dibincangkan secara detail dan diwacanakan.

15. Berbalik kepada isu rukyah vs hisab, ini sebenarnya isu yg panjang dibahaskan oleh ulama. Ada yg propose guna rukyah sahaja, ada yg hisab sahaja. Ulama Malaysia mendapati keduanya ada manfaat yg tidak dapat dipisahkan dan keduanya menepati tuntutan syariat Islam.

16. Kaedah rukyah itu sendiri sekarang sudah diperincikan sama ada rukyah mata kasar atau harus juga melalui peralatan spt teodolit, teleskop dan binokular. Teknologi terkini spt imej CCD dan kamera yg diproses juga menghangatkan perbincangan sama ada ia memenuhi makna rukyah atau tidak. Buat masa ini ada kecenderungan menerimanya sebagaimana kenampakan hilal Ramadan baru-baru ini.

17. Definisi rukyah juga adakah literal atau maknawi? Rukyah bil ‘ain sahaja atau merangkumi rukyah ‘ilmiyyah? Tujuan rukyah ialah utk isbat hilal. Hisab pun sama. Dengan itu hisab juga boleh dianggap sebagai memenuhi makna rukyah secara majazi, iaitu kenampakan secara hisabi. Ini ada perbincangan ulama tentang maksud hadis rukyah. Malaysia menerima pakai kedua makna literal dan maknawi, sebab itulah kita amalkan rukyah dan hisab.

18. Usah fobia dengan hisab kerana sebenarnya kita banyak menggunakan hisab dalam penentuan waktu solat seharian tanpa mencerap matahari. Jika kita terlalu strict dengan rukyah utk puasa dan hari raya, kenapa kita boleh pula menerima hisab untuk waktu solat? Sedangkan petunjuk syariat tentang waktu solat dan puasa/ hari raya datang dari sumber yang sama, iaitu al-Quran dan Sunnah. Tidak pernah kita dengar pejuang rukyah melaungkan wajib cerapan hakiki matahari utk penentuan waktu solat.

19. Kaedah rukyah dan hisab kita adalah ijtihad yang sah di sisi syarak dan ia telah dilaksanakan secara konsisten. Kita tidak buang hisab dan ambil rukyah sahaja pada 3 bulan tersebut, sebaliknya keduanya digunakan. Penggunaan kaedah ini adalah keputusan Ulul Amri yang mengangkat khilaf atau perbezaan pendapat. Ijtihad bagaimanapun tidak muktamad, sebab itulah kita boleh tambahbaik kaedah rukyah dan kriteria IR.

20. Saya juga suka mencadangkan supaya pihak yg mempertikaikan kaedah sedia ada supaya berbincang dengan pihak berautoriti dan pakarnya di platform yang bersesuaian. Jika berkemampuan, sila lanjutkan pengajian dan jalankan penyelidikan di peringkat MA atau PhD utk buktikan kebenaran hipotesis mereka. Perbincangan di media sosial tidak sesuai dan sukar. Wallahu a’lam.

Dr Saadan Man
Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM
7 Syawal 1440H/ 11 Jun 2019

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.