SEJARAH TAKWIM IMKAN AL-RU’YAH DI MALAYSIA

3
3295

Pengertian Takwim

Dalam kamus dewan edisi ke empat, takwim didefinisikan sebagai daftar hari bulan, almanak, kalendar dan penanggalan. Takwim merupakan satu sistem pengurusan dan pengiraan waktu yang berasaskan kepada pergerakan fenomena tabi’ie seperti berterusan bumi mengelilingi matahari dan pergerakan berterusan bulan mengelilingi bumi. Takwim juga boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu, dan minggu menjadi hari. Dengan kata lain, ianya seperti satu sistem pengurusan masa untuk memudahkan aktiviti kehidupan seperti perkerjaan, peribadatan, pentadbiran, penanaman, penuaian dan sebagainya. Masyarakat purba dahulu kala menjadikan perubahan kedudukan matahari, bulan dan bintang sebagai asas dalam membentuk sistem kalendar. Usaha dalam menetap dan membentuk pengurusan masa ini didapati telah membawa kepada permulaan kajian mereka dalam ilmu falak. Hal ini kerana pembentukan kalendar mempunyai hubungan yang amat rapat dengan peredaran objek dilangit.

Sejarah Aplikasi Kalendar di Malaysia

Sebelum tahun 1969, penyusunan Kalendar Istilahi telah diaplikasikan di Malaysia. Secara umumnya, kalendar ini berdasarkan kepada hisab ‘urfi yang mempunyai bilangan hari sebanyak 29 hari dan 30 hari secara berselang seli. Namun begitu, Kalendar Istilahi tidak digunakan bagi penentuan awal Ramadan dan Syawal, sebaliknya tarikh-tarikh tersebut ditentukan berdasarkan kepada kaedah hisab dan rukyah.

Seterusnya, pada tahun 1986 hingga tahun 1991, Malaysia telah menggunakan Kalendar Ijtimak Hakiki. Kalendar ini berdasarkan kepada sekiranya ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenam matahari dikira awal bulan Hijrah yang baru. Namun sekiranya ijtimak berlaku selepas matahari terbenam, maka bermula pada terbenam matahari dikira 30 haribulan bagi bulan Hijrah yang berlangsung. Kalendar ini juga digunakan bagi menentukan semua awal bulan Hijrah kecuali 1 Ramadan dan 1 Syawal.

Seterusnya, antara tahun 1992 hingga 1994 Kalendar Ijtimak Wujud al-Hilal telah diaplikasikan di Malaysia. Kalendar ini berdasarkan kepada masa berlaku ijtimak pada akhir bulan Hijrah beserta anak bulan wujud di atas ufuk selepas matahari terbenam. Di samping itu, kalendar ini digunakan untuk penentuan awal bulan selain 1 Ramadan, 1 Syawal dan 1 Zulhijah. Penentuan bulan-bulan tersebut mengunakan kalendar Imkan al-ru’yah.

Kemudiannya, bermula pada tahun 1995 Kalendar Imkan al-ru’yah telah digunakan dalam penyusunan tarikh 1 haribulan Hijrah di Malaysia. Kalendar ini berpandukan kepada kriteria berikut;
Anak bulan dianggap kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat berikut :
a. Ketika Matahari terbenam
i. Ketinggian bulan tidak kurang daripada 2˚, DAN
ii. Jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3˚.
atau
b. Ketika bulan terbenam
Umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

Imkan al-Ru’yah: Sejarah dan Pengaplikasian

Secara ringkasnya, sejarah imkan al-ru’yah bermula pada 27-30hb November 1978 iaitu dengan berlangsungnya Persidangan Menentukan Permulaan Bulan Hijrah di Istanbul. Persidangan yang dikenali juga dengan nama Muktamar Hilal. Persidangan ini dihadiri oleh perwakilan daripada 20 buah negara. Antara negara yang mewakili Asia Tenggara ialah Malaysia dan Indonesia melalui perwakilan masing-masing. Muktamar ini bertujuan untuk menyelaraskan penentuan awal bulan Hijrah dalam kalangan negara-negara Islam. Usaha ini secara tidak langsung membantu kepada penyatuan negara-negara Islam secara teori dan praktik. Melalui persidangan tersebut, beberapa resolusi telah terhasil. Antaranya ialah mengenai kriteria kenampakan anak bulan yang dipersetujui bersama. Pada asalnya pengamalan Malaysia sebelum kriteria imkan al-ru’yah yang dinyatakan di atas, ialah berikut:

  1. Anak bulan dikira boleh kelihatan, sekiranya kedudukan matahari dan bulan ketika waktu matahari terbenam tidak kurang daripada 7-8 darjah. Kriteria yang dipilih adalah 8 darjah kerana mengambilkira nilai selamat (ihtiyat).
  2. Ketinggian anak bulan ketika matahari terbenam tidak kurang dari 5 darjah.

Dalam usaha mengaplikasikan kriteria tersebut di Malaysia, pada 30 Ogos 1983 satu memorandum telah dihantar kepada Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan oleh mereka. Memorandum tersebut adalah berdasarkan kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa Dan Hari Raya pada 5 dan 25 April 1983. Antara isi kandungan memorandum tersebut adalah seperti berikut;


a) Penentuan hari rukyah hilal pada akhir bulan Syaaban dan akhir bulan Ramadhan hendaklah dibuat hisab falak.
b) Menerima pada dasarnya tiga ketetapan asas Persidangan Hilal Negara-negara Islam Sedunia di Istanbul, Turki 27-30hb November 1978 mengenai cara-cara rukyah hilal bahawa anak bulan dikira sabit ada dan boleh dirukyah apabila:
i) Hilal berada setinggi tidak kurang daripada 5(½) (lima setengah) darjah dari ufuk maghrib ketika ghurub matahari hari rukyah.
ii) Hilal berada jauh daripada jisim matahari pada ketika ghurub matahari tidak kurang daripada 7(½) (tujuh setengah) darjah, dan,
iii) Masa berlaku ijtimak, iaitu masa lahir hilal hendaklah berlaku tidak kurang daripada 8 (jam) sebelum waktu ghurub matahari…

Namun setelah diteliti, terdapat penambahbaikan dan perubahan terhadap kriteria tersebut terhadap kriteria semasa. Terdapat beberapa faktor yang menjadi asbab kepada perubahan tersebut. 3 figur penting yang memainkan peranan penting dalam penetapan ini di Malaysia. Mereka juga merupakan perwakilan yang dihantar mewakili Malaysia ke Persidangan Menentukan Permulaan Bulan Hijrah di Istanbul pada tahun 1983. Namun apakah sejarah disebalik perubahan itu ? Kenapa resolusi kriteria asal imkan al-ru’yah yang dipersetujui dalam Muktamar Hilal itu diolah semula ? Apakah signifikan kriteria semasa berbanding yang dipersetujui disana ?

Rujukan

  • Nawawi, M. S. A. M., Man, S., Zainuddin, M. Z., Wahab, R. A., & Zaki, N. A. (2015). SEJARAH KRITERIA KENAMPAKAN ANAK BULAN DI MALAYSIA. Journal of Al-Tamaddun10(2).
  • Bab 3: Takwim dan Kaedah Penetapan Awal Bulan Hijri Dari Perspektif Fiqh

3 COMMENTS

Leave a Reply to nazrah Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.