MERIAHNYA RAYA 1443H/ 2022

Setelah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung, tahun ini 1 Syawal bagai dinanti2 oleh semua umat Islam di Malaysia. Masing2 telah membuat persiapan awal dan perancangan untuk pulang ke kampung meraikan hari raya bersama sanak saudara. Ditambah dengan cuti pun kebetulan lebih dari 3 hari…

Namun, kemeriahan menanti 1 syawal menjadi lebih menarik apabila viralnya isu bilanya tarikh sebenar 1 syawal 1443H, 2 Mei (Isnin) atau 3 Mei (Selasa)?

Kenapa isu ini viral?

Wujud kerana terdapat beberapa komentar di sosial media yg menyatakan anak bulan boleh kelihatan menjadikan hari raya puasa adalah pada 2 Mei dan bukan pada 3 Mei kerana tarikh melihat anak bulan Syawal adalah pada 1 Mei 2022. Ianya disupport pula dengan data dari almanak luar negara yg boleh dirujuk melalui aplikasi online.

Benarkah begitu?

Penentuan awal bulan hijri di Malaysia menggunapakai kaedah rukyah dan hisab. Rukyah (melihat anak bulan) dilaksanakan pada hari ke 29 setiap bulan (fokus 29 Ramadan). Sekiranya hilal (anak bulan) tidak kelihatan maka hisab digunakan dengan merujuk kepada syarat kriteria imkanur rukyah (KIR) yg telah dipersetujui. Sekiranya syarat dipenuhi maka esoknya menjadi 1 syawal dan sekiranya tidak dipenuhi maka esoknya digenapkan 30 hari Ramadan (puasa).

Apa pula Imkanur Rukyah (KIR)?

KIR adalah syarat/kriteria yg dipersetujui bersama dalam menetapkan kenampakan hilal. KIR yg ditetapkan adalah hilal dikira kelihatan sekiranya ia berada pada kedudukan tidak kurang daripada 3° tinggi dari ufuk dan 6.4° elongasi/jarak lengkung bulan-matahari ketika matahari terbenam pada hari ke 29 (hari rukyah/hari cerapan). Syarat ini baru saja diperkenalkan pada Muharram 1443H menggantikan syarat lama iaitu hilal dikira kelihatan sekiranya berada pada kedudukan tidak kurang daripada 2° tinggi dari ufuk dan 3° elongasi/jarak lengkung atau umur hilal 8 jam selepas ijtima’. (Syarat KIR baru tidak lagi menerima umur hilal sebagai kriteria).

Kriteria baru diperkenalkan selepas kajian hilal dalam tempoh yang agak lama dilaksanakan di Malaysia dan juga merujuk kepada data hilal yg diperolehi dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei dan juga dibuat utk menyelesaikan isu2 berkaitan KIR yg lama.

Apa yg terjadi dengan data 1 Syawal 1443H?

Sebahagian komentar di media sosial menyatakan bahawa data menunjukkan hilal Syawal 1443H berada pada kedudukan yang menepati KIR dengan merujuk kepada aplikasi hitungan luar negara (almanak luar negara).

Namun harus diingat di Malaysia pihak berautoriti telah melaksanakan hitungan berkaitan hilal syawal 1443H dengan merujuk kepada data yang lebih valid untuk negara Malaysia iaitu data dari Almanak Falak Syarie Jakim dan almanak yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Data hitungan tersebut telah menunjukkan bahawa hilal Syawal tidak memenuhi kriteria imkanur rukyah seperti yang diviralkan. Hitungan ini dibuat berpandukan kepada titik rujukan paling timur Malaysia di Tanjung Atiamu Sabah dan juga titik rujukan paling barat Malaysia di Tanjung Chinchin Pulau Langkawi Kedah

Apakah data tersebut?

Ketika matahari terbenam hari ke 29 (hari rukyah/cerapan). Data Tanjung Chinchin, Pulau Langkawi Kedah menunjukkan bahawa altitud bulan berada pada kedudukan 5° 27 dari ufuk dan 5 ° 57 jarak lengkung bulan ke matahari. Ianya tidak memenuhi kriteria Imkanur Rukyah iaitu hilal dikira boleh kelihatan sekiranya berkedudukan tidak kurang daripada 3° tinggi dari ufuk dan 6.4° jarak lengkung bulan ke Matahari.

Kenapa Tanjung Chinchin digunakan dan bukan lokasi lain seperti Kuala Lumpur dsb?

Ini kerana bagi negara Malaysia, Tanjung Cincin adalah lokasi terakhir matahari terbenam di langit Malaysia (merujuk kepada paling barat dan waktu Malaysia).

Kenapa berbeza data almanak luar dan almanak Falak Syarie Jakim dan almanak JUPEM.

Data almanak luar berpandukan kepada konsep hitungan dan kaedah hitungan yang digunakan oleh negara2 luar. Manakala data almanak Falak Syarie Jakim dan almanak JUPEM telah diubah suai supaya menepati konsep dan kaedah hitungan geografi bumi Malaysia. Perbezaan konsep dan kaedah hitungan inilah yang menyebabkan keputusan yang dikeluarkan adalah berbeza.

Data yang diperolehi dari sumber JUPEM

So bolehkah hilal kelihatan sebenarnya?

Mengikut rekod cerapan yg ada sehingga kini, anak bulan paling muda yg pernah dicerap berada pada kedudukan elongasi/jarak lengkung 6° keatas (jarak kedudukan bulan perigee – dekat dengan bumi). Oleh yg demikian data hilal syawal 1443H yg pada kedudukan 5°57` elongasi /jarak lengkung berkemungkinan agak sukar untuk kelihatan. Ini ditambah lagi kedudukan jarak bulan yang berada jauh daripada bumi (apogee). Kesan daripada jarak yang jauh ini menyebabkan balikan cahaya permukaan hilal (iluminasi) lebih nipis untuk dicerap iaitu lebih kurang 0.31% sahaja. Selain itu juga faktor cuaca pada petang hari rukyah juga memberi kesan dalam penampakan hilal.

Walau bagaimanapun. Sekiranya anak bulan kelihatan, maka rekod anak bulan baru akan tercipta…

Siapakah yang bertanggungjawab untuk mencerap hilal dan mewarwarkan kenampakan hilal?

Bagi bulan Ramadan Syawal dan Zulhijjah, pihak yg bertanggungjawab untuk merukyah hilal dan melaporkan kenampakan hilal adalah jawatankuasa yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri. Mereka ini diberi tanggungjawab untuk merukyah hilal di 29 lokasi cerapan hilal seluruh Malaysia. Sekiranya hilal kelihatan, laporan akan dipanjangkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja2 Malaysia (PPMBR), begitu juga jika hilal tidak kelihatan. Pihak PPMBRR yg akan memutuskan keputusan kenampakan hilal dan diumumkan kepada masyarakat setelah mendapat perkenan Yang DiPertuan Agung.

Betul ke Indonesia akan beraya pada 2 Mei?

Harus difahami, negara Indonesia amat besar dan ianya bermula jauh ke Timur dan mengunjur ke barat bermula dari Papua Barat dan kepulauan Sulawesi sehingga ke Kepulauan Acheh. Oleh kerana Kepulauan Acheh ini sudah lebih ke Barat dari Negara Malaysia, sudah tentu data hilal yang merujuk kepada KIR yang dipersetujui bersama telah dipenuhi. Peluang kenampakan hilal di sana juga lebih cerah berbanding Malaysia berikutan imej hilal akan lebih besar berbanding di Malaysia diatas faktor tersebut.

Menarik bukan?

Tahun 2022/1443 H mencatat nostalgia baru untuk semua umat Islam di Malaysia untuk menyambut satu Syawal. Kini masyarakat islam akan menanti2 pengumuman yang akan dibuat oleh PMBRR di kaca TV, bukan saja untuk meneka warna baju beliau kali ini tetapi juga untuk meneka bilakah sebenarnya tarikh 1 Syawal 1443H, adakah bertepatan dengan 3 Mei 2022 seperti yang ditetapkan atau 2 Mei seperti yang diviralkan (nak raya awal la katakan)

Apa pun semoga kedatangan 1 Syawal kali ini menjadi titik tolak berkembangnya ilmu falak di bumi Malaysia…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.