Sejarah dan Asal Usul Kalendar Islam (Hijri)

1
23887

Kalendar Islam sangat penting dalam semua urusan kehidupan. Kalendar Islam ditetapkan berdasarkan cerapan kenampakan hilal yang merupakan suatu proses yang rumit dalam penentuan kenampakannya. Menurut al-Biruni, kalendar ini dimulai pada 16 Julai 622 M . Kalendar Islam adalah kalendar yang merujuk kepada peredaran bulan semata-mata dan sandarannya ialah al-Quran dan al-Hadis. Justeru tidak timbul keraguan dalam penggunaannya. Pengamalan penggunaan kalendar Islam atau dikenali sebagai kalendar Hijri ini adalah dibuat ketika zaman Saidina Umar al-Khattab. Nama Hijri merujuk kepada nama hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

Sebenarnya kalendar Hijri ini adalah rangkaian kalendar ketika zaman Arab Jahiliah. Apabila Rasulullah SAW datang, baginda memperkenalkan permulaan bulan Muharam yang diambil dari kalendar lama masyarakat Arab Jahiliah ini. Sungguhpun begitu, penggunaannya tidak mengikut sistem seperti sekarang kerana baginda Rasullullah SAW lebih merujuk kepada tahun-tahun yang berlaku sesuatu kejadian.

Tahun pertama hijrah dianamakan dengan Tahun al-idhn iaitu al-idhn bi al-hijrah, tahun kedua dinamakan dengan tahun al-amr bi al-qital, tahun ketiga dinamakan dengan Tahun al-tamhis, tahun keempat dinamakan dengan Tahun al-tarfiyah dan tahun kelima dinamakan dengan Tahun al-zilzal.
Manakala bagi tahun keenam pula dinamakan dengan Tahun al-isti’zan, tahun ketujuh dinamakan dengan Tahun al-istighlab, tahun kelapan dinamakan dengan Tahun al-istiwa’, tahun kesembilan dinamakan dengan Tahun al-bara’ah, dan diikuti tahun kesepuluh dinamakan dengan Tahun al-wadaᶜ iaitu terdapat haji Nabi yang terakhir.

 

Berdasarkan hadis riwayat Ibn ᶜUmar, ilmu falak pada zaman permulaan Islam adalah asing dalam kalangan para sahabat. Ini dibuktikan dengan hadis yang terdapat dalam Syarh Sahih al-Bukhari yang menyebut berdasarkan riwayat berikut:-

حدثنا آدم حدثنا شعبة حدثنا الأسود بن قيس حدثنا سعيد بن عمرو أنه سمع بن عمر رضي الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم أنه قال : إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب . الشهر هكذا وهكذا . يعنى مرة تسعة وعشرين ومرة ثلاثين

Bermaksud: “Telah berkata kepada kami Adam, berkata kepada kami Syuᶜbah, berkata kepada kami al-Aswad Ibn Qays, berkata kepada kami Said Ibn ᶜAmru : Sesungguhnya dia telah mendengar Ibn ᶜUmar dari Nabi SAW, baginda bersabda: Sesungguhnya umatku adalah umat yang ummi, tidak pandai menulis dan mengira, bulan itu begini dan begini (bermaksud sekali 29 dan sekali 30)”

Semenjak baginda sampai ke Madinah, baginda telah memerintahkan para sahabat menggunakan sistem tarikh. Sabda Rasullullah SAW:

عن سهل بن سعد قال : ما عدوا من مبعث النبى صلى الله عليه وسلم ولا من وفاته ، ما عدوا إلا من مقدمة المدينة

Bermaksud: “Dari Sahl Ibn Saᶜad berkata: Mereka para sahabat tidak memulakan tarikh dari perutusan Nabi SAW dan tidak juga dari kewafatan baginda. Mereka tidak memulakan tarikh kecuali sejak kedatangan baginda ke Madinah”.

Disebabkan kedatangan Rasullullah SAW ke Madinah para sahabat telah melakukan penetapan tarikh dari bulan ke bulan seperti dalam riwayat berikut :-

عن إبن جريج عن أبى سلمة عن إبن شهاب الزهري أن النبى لما قدم المدينة أمر بالتاريخ فكتب فى ربيع الأول

Bermaksud: “Dari Ibn Jurayj dari Abi Salamah dari Ibn Syihab, sesungguhnya Nabi SAW ketika sampai di Madinah baginda memerintahkan menulis tarikh, maka ditulis padanya Rabiulawal”

Berdasarkan ketiga-tiga hadis berikut, terbukti baginda hanya memberitahu kepada sahabat dan menyuruh mereka menulis tarikh tetapi baginda tidak menetapkan satu sistem yang menyeluruh terhadap pembentukan sistem kalendar Islam pada masa tersebut.

Perlantikan Khalifah Saidina Umar al-Khattab selepas kewafatan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq membuka lembaran baru dalam kalendar Islam. Beliau telah meletakkan asas penetapan kalendar Hijri pada hari Rabu 20 Jamadilakhir Tahun ke-17 Hijrah Rasullullah SAW . Penentuan tersebut dilakukan selepas baginda mengutus surat kepada Gabenor Basrah iaitu Abu Musa al-Asyᶜari dan menyebut dalam surat tersebut bulan Syaaban. Abu Musa al-Asyᶜari berasa ragu lalu beliau membalas surat tersebut dengan bertanyakan kepada Saidina Umar al-Khattab seperti dengan ungkapan berikut:-

“Sesungguhnya telah datang kepada kami satu surat dari Amir al-Mukminin. Kami telah membacanya bertarikhkan Syaaban dan kami tidak pasti adakah ianya Syaaban yang kami berada sekarang atau Syaaban tahun lepas”

Setelah membaca balasan surat tersebut, Saidina Umar al-Khattab merasakan tersangat penting untuk meletakkan asas penentuan kalendar Hijri ini. Baginda menghimpunkan ramai sahabat untuk mendapat buah fikiran yang paling baik dalam penentuan tersebut. Sebahagian sahabat mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, sebahagian yang lain mencadangkan tarikh Rasulullah SAW diutus menjadi Rasul. Golongan terakhir yang terdiri daripada baginda sendiri, Saidina Uthman R.A dan Saidina Ali R.A mencadangkan tarikh hijrah Rasulullah SAW. Hal ini kerana tarikh hijrah sangat terkenal dan tidak ada perselisihan dalam kalangan sahabat. Justeru Saidina Umar al-Khattab berkata,

“Hijrah telah memisahkan di antara yang hak dengan yang batil maka kita mulakanlah dengannya, manakala Muharam menyuraikan sekalian manusia dari haji mereka”

Kesemua sahabat bersepakat dan mereka memulakan awal bulan dengan bulan Muharam dan memulakan permulaan tahun dengan Hijrah Rasul SAW dari kota Mekah ke Madinah. Sebab itulah dinamakan Kalendar Hijri bersempena hijrah Rasulullah SAW!!!

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.